1 RUMAH 1 JALUR GEMILANG: SEMAI PERASAAN BANGGA, CINTAKAN NEGARA

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

AYER KEROH 13 Ogos – Sebanyak 84 Komuniti MADANI seluruh Melaka akan digerakkan bagi menjayakan kempen ‘1 Rumah 1 Jalur Gemilang’ sempena Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2026.

Pengarah Jabatan Penerangan (JaPen) Negeri Melaka Mazli Hamdan berkata, kempen itu merupakan inisiatif Kementerian Komunikasi yang dilaksanakan serentak di seluruh negara.

Katanya, kempen itu melibatkan premis perniagaan, pejabat awam dan swasta, sekolah, rumah ibadah, pusat beli-belah serta lokasi tumpuan awam.

“Tujuan utama kempen ini adalah untuk menyemarakkan sambutan HKHM 2026, kita mahu ajak rakyat bersama-sama kibarkan Jalur Gemilang, semarakkan semangat sayangkan negara dan semangat patriotisme.

“Harapan kami adalah agar Jalur Gemilang dapat berkibar di setiap rumah, premis dan bangunan di seluruh Melaka,” katanya ketika ditemui selepas selepas sesi kunjung hormat ke Melaka Hari Ini Sdn Bhd (MHISB), di Pejabat MHISB di Kompleks CMI, hari ini.

Hadir sama Timbalan Pengarah (JaPen) Negeri Melaka Dr. Nur Aishah Zainal, manakala MHISB diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya Nasharuddin Muhammad.

Menurutnya, inisiatif itu dimeriahkan lagi dengan pelaksanaan Kembara Merdeka Jalur Gemilang X JAGO bertujuan menyemarakkan semangat patriotisme dan cinta kepada negara dalam kalangan orang Melaka.

“Kembara Merdeka Jalur Gemilang X JAGO diadakan di Kampung Tun Razak sejurus selepas Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Melaka Tahun 2026 yang disempurnakan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh pada 10 Ogos lalu.

“X JAGO adalah lori khusus dilengkapi pelbagai kemudahan canggih seperti layar LED dan boleh juga jika kita mahu buat wayang pacak, bagi membantu hebahan mengenai kempen secara digital. Kehadiran Kembara Merdeka ini bukan sekadar mengibarkan Jalur Gemilang, malah menjadi simbol perpaduan, kebersamaan dan semangat seluruh rakyat dalam menyambut Bulan Kebangsaan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

335
Kongsi :
Previous post BANTUAN TEPAT IKUT KEPERLUAN, JADI PENGUAT SEMANGAT PENJAJA KECIL