RUMAH BAHARU JADI SIMBOL HARAPAN BUAT AMRAN SEKELUARGA

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

GADEK 13 Ogos – Bertahun-tahun lamanya, setiap kali hujan lebat Amran Sulaiman, 59, dan isteri resah memikirkan ruang dalam kediaman mereka dibasahi air selain dinding rumah pusaka berusia 60 tahun itu yang semakin reput dimamah usia.

Dengan penuh syukur, bapa kepada empat anak itu menerima kunci rumah baharu menerusi Program Melaka Rumahku (PMR) dilaksanakan Lembaga Perumahan Melaka (LPM) yang bukan sekadar tempat berteduh, tetapi simbol harapan buat Amran sekeluarga.

Kini, rumah baharu di Kampung Tanning Rimau itu sudah siap sepenuhnya dan dia hanya menunggu masa untuk berpindah masuk bersama isteri, Rozimah Abdullah, 57.

“Ini rumah pusaka saya generasi ketiga duduk di sini, bila hujan lebat memang air penuh dalam rumah dah terlalu uzur. Alhamdulillah, rumah ini adalah lembaran baharu untuk saya dan keluarga kami dah tak sabar nak pindah.

“Terima kasih kepada Kerajaan Negeri, Datuk Fairul, Adun Gadek dan semua pihak yang menjayakan bantuan ini. Kalau tak ada bantuan, saya dan keluarga masih duduk dalam rumah bocor. Terima kasih semua,” katanya kepada Melaka Hari Ini selepas menerima kunci rumah baharunya.

Momen lebih bermakna apabila kunci rumah diserahkan sendiri oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh dalam Majlis Penyerahan Rumah Bina Baharu LPM Sempena Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Gadek 9 Ogos lalu.

Turut hadir Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital merangkap Penyelaras Jelajah, Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Belia, Sukan dan NGO merangkap Adun Gadek, Datuk VP Shanmugam; barisan Exco Kerajaan Negeri; Pegawai Daerah Alor Gajah, Datuk Sabrina Thalas, Pengarah Eksekutif LPM Datuk TPr. Murad Husin dan tetamu kenamaan lain.

Amran yang turut mempunyai masalah penglihatan berkata, peluang bersemuka dengan Ketua Menteri itu adalah satu anugerah.

“Sebelum ini saya hanya dengar orang cerita. Tak sangka dapat jumpa sendiri, beliau sangat merendah diri dan prihatin. Saya terharu sangat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

365
Kongsi :
Previous post MAIM ADA BUDI BICARA, SEDIA BANTU RAKYAT DALAM KESUSAHAN