
IKAN BAKAR TELOK MAS JADI FENOMENA
TELOK MAS 13 Ogos – Industri ikan bakar di Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas terus mencatatkan sambutan luar biasa apabila ribuan pengunjung direkodkan hadir setiap minggu bagi menikmati hidangan popular tersebut.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Telok Mas, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman berkata, kawasan ikan bakar di Telok Mas khususnya di Pernu, Sungai Punggur dan beberapa lokasi lain kini menjadi antara tarikan utama pelancongan makanan di Melaka.
Menurut beliau, beberapa premis terkenal seperti Medan Ikan Bakar Parameswara yang terletak di Pernu terus menjadi tumpuan terutama pada hujung minggu bermula Khamis hingga Ahad.
“Kalau kita tengok sekarang, setiap hujung minggu memang ribuan orang datang ke kawasan ikan bakar di Telok Mas. Contohnya di Parameswara, dari Khamis sampai Ahad memang penuh dan meriah,” katanya dalam sesi Podcast Mana Lagi Melaka Ler bersama Melaka Hari Ini.
Abdul Razak yang juga Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri berkata, perkembangan positif itu turut dipacu oleh kreativiti pengusaha yang kini tidak lagi tertumpu di kawasan tepi laut semata-mata, sebaliknya mula membuka premis di lokasi lebih strategik seperti di jalan utama bagi menarik perhatian pelanggan.
Katanya, perubahan strategi perniagaan itu terbukti berjaya meningkatkan jumlah pelanggan kerana faktor aksesibiliti yang lebih mudah kepada pengguna jalan raya.
“Mereka kini lebih kreatif. Ada yang buka kedai di kawasan jalan utama supaya lebih mudah dilihat dan diakses pelanggan.
“Contohnya Ikan Bakar Haji Musa yang sebelum ini di kawasan dalam, kini berpindah ke lokasi lebih strategik dan ini menarik lebih ramai pelanggan,” katanya.
Beliau berkata, keunikan rasa ikan bakar Melaka juga menjadi faktor utama ia terus mendapat perhatian pelancong dari dalam dan luar negara.
Katanya, hidangan tersebut berbeza daripada ikan bakar di tempat lain kerana ia dinikmati bersama nasi lemak daun pisang yang memberi pengalaman rasa tersendiri.
“Ikan bakar Melaka ini unik. Ia dibakar tanpa sambal dan biasanya dimakan bersama nasi lemak daun pisang. Rasanya berbeza dan ini antara yang menjadi tarikan pelancong apabila datang ke Melaka,” katanya.
Tambah Abdul Razak, beliau sentiasa mempromosikan produk ikan bakar Telok Mas setiap kali mengikuti siri promosi pelancongan yang diadakan di dalam dan luar negara termasuk di Eropah.
Katanya, usaha promosi berterusan itu memberi impak positif apabila semakin ramai pelancong menjadikan Telok Mas sebagai destinasi wajib untuk menikmati makanan laut segar.
Beliau berkata, kejayaan industri ikan bakar di Telok Mas juga turut disumbang oleh pengusaha tempatan yang sentiasa mengekalkan kualiti dan pada masa sama berusaha meningkatkan daya tarikan perniagaan masing-masing.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

