Turunkan lagi kadar caj perhotelan – Muhammad Jailani

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

BANDA HILIR 1 Sept. – Kerajaan negeri menyarankan pemain industri perhotelan di negeri ini agar menurunkan lagi kadar caj perkhidmatan perhotelan bagi menyambut lebih ramai pelancong ke negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata industri berkenaan khususnya perhotelan lima bintang perlu meletakkan harga perkhidmatan yang rendah dan berpatutan berikutan sambutan pelancong pada pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Kita harap pihak perhotelan di negeri ini perlu menurunkan harga caj perkhidmatan disebabkan buat masa ini kita dalam Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan ketika ini pelancongan domestik baharu dibuka dan ia memberi peluang kepada syarikat perhotelan untuk tarik lebih ramai pelancong.

“Saya harap dengan faktor peningkatan pelancong dalam tempoh PKPP ini pihak perhotelan sudi berkompromi menurunkan kadar harga tersebut kerana saya melihat masih banyak hotel-hotel di negeri ini mengekalkan harga yang agak tinggi,” katanya ketika ditemui pemberita, baru-baru ini.

Menurut Jailani, biarpun kadar pelancongan Melaka meningkat dalam tempoh PKPP, bagaimanapun sambutan terhadap industri perhotelan Melaka hanya mencapai 56 peratus sahaja.

“Kerajaan negeri sudah melaksanakan perbincangan hampir tiga kali bersama pihak industri ini dan perkara ini juga telah diangkat kepada Majlis Tindakan Ekonomi Negeri agar ia diperkasakan.

“Kita sudah memberi nasihat termasuk memberi pandangan agar pihak perhotelan menyasar pemasaran yang memfokuskan kepada kadar ‘volume’ itu sendiri.

“Kerajaan negeri sedia memberi sebarang nasihat namun apa pun kita tidak boleh memaksa disebabkan pengoperasian mereka dijalankan oleh pihak swasta,” katanya.

Views:

266
Kongsi :
Previous post Program ‘chargeman’ tajaan TNB buka peluang anak Melaka terokai pasaran buruh
Next post INSWA pusat sehenti penghasilan produk warisan dan budaya
Ubah saiz-+=