Agong kurnia ‘Tun’ kepada Malanjum, Raja Muhammad Alias

KUALA LUMPUR 13 Nov – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan mengurniakan Darjah Seri Setia Mahkota (SSM) yang membawa gelaran Tun’ kepada bekas Ketua Hakim Negara Tun Richard Malanjum dan bekas Pengerusi Kumpulan FELDA Tun Raja Muhammad Alias Raja Muhammad Ali.

Dua tokoh itu mendahului senarai 44 penerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan bersempena Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Tahun 2021 pada istiadat pengurniaan hari pertama yang berlangsung di Istana Negara di sini.

Malanjum, 69, merupakan antara beberapa penerima bagi 2020 manakala Raja Muhammad Alias merupakan antara keseluruhan 1,207 penerima penerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan tahun ini.

Malanjum, dilantik sebagai Ketua Hakim Negara pada 11 Julai 2018, serta pernah berkhidmat sebagai Hakim Besar Sabah dan Sarawak dari 2006 hingga 2018 sebelum bersara pada 12 April 2019.

Sementara itu, Raja Muhammad Alias, 89, berkhidmat sebagai Pengerusi Kumpulan FELDA sejak 1966 hingga 2001 serta memegang jawatan Pengerusi Yayasan FELDA pada 1998.

Turut berangkat ke istiadat itu ialah Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah. Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut hadir.

Selain itu, Yang di-Pertuan Agong juga mengurniakan Darjah Panglima Mangku Negara (PMN) yang membawa gelaran ‘Tan Sri’ kepada dua penerima iaitu Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.

Seri Paduka juga berkenaan menganugerahkan Darjah Panglima Setia Mahkota (PSM) bagi 2020 dan 2021 yang membawa gelaran Tan Sri kepada 19 individu iaitu iaitu Gabenor Bank Negara Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus dan Pengerusi Universiti Teknologi MARA (UiTM) Tan Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir yang menerimanya bagi tahun lepas.

Sementara itu, 17 penerima Darjah PSM tahun ini terdiri daripada Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Azhar Azizan Harun, bekas Menteri Pengangkutan Tan Sri Liow Tiong Lai, Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah dan juga Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang, Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim serta Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Tan Sri Azam Baki.

Turut menerima PSM ialah Ketua Setiausaha Kementerian Luar Tan Sri Muhammad Shahrul Ikram Yaakob, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nassar, Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar, pakar astronomi dan profesional astrofizik Tan Sri Prof Emeritus Dr Mazlan Othman, Ahli Lembaga Pengarah Institut Integriti Malaysia Tan Sri Dr Ismail Ibrahim.

Penerima lain ialah Ahli Lembaga Pengarah Khazanah Nasional Berhad Tan Sri Mohammed Azlan Hashim, Pengarah Eksekutif Leong Hup International Berhad Tan Sri Lau Eng Guang, Pengerusi Eksekutif The Edge Media Group Tan Sri Tong Kooi Ong, bekas Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Tan Sri Mohd Shariff Omar, Pengerusi Ikhlas Capital Tan Sri Mohamed Nazir Abdul Razak, Pengerusi Eksekutif LB Aluminium Berhad Tan Sri Leow Chong Howa dan Pengarah Eksekutif Infinity Logistics and Transport Ventures Limited Tan Sri Tan Jyh Yaong.

Turut dianugerah PSM ialah bekas Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Mazlan Mansor, Presiden Majlis Olimpik Malaysia Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria, Ketua Pegawai Eksekutif The Lotus Corporation Bhd Datuk R Doraisingam, Pengerusi Petroliam Nasional Berhad (Petronas) Datuk Ahmad Nizam Salleh, Presiden Kumpulan Sunway Group Berhad Datuk Chew Chee Kin, Pengarah Urusan Platinum Victory Holdings Sdn Bhd Datuk Seri Gan Yu Chai serta Pengasas dan Pengarah Urusan SENA Group of Companies Datuk Tan Boon Hock.

Yang di-Pertuan Agong turut mengurniakan Darjah Panglima Jasa Negara (PJN) yang membawa gelaran ‘Datuk’ kepada 18 individu antaranya Hakim Mahkamah Rayuan Datuk M. Nantha Balan, Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Darryl Goon Siew Chye, bekas pemain badminton kebangsaan Datuk Mohmed Misbun Sidek, Ketua Pegawai Eksekutif Celcom Axiata Berhad Datuk Mohamad Idham Nawawi dan Timbalan Ketua Menteri Sabah II Datuk Dr Jeffrey Kitingan.

Pada istiadat pengurniaan hari ini, Al-Sultan Abdullah juga berkenan mengurniakan Darjah Panglima Setia Diraja (PSD) yang membawa gelaran ‘Datuk’ kepada Bekas Pengarah Cawangan Tenaga Kerja Bahagian Perkhidmatan Anggota Markas Angkatan Tentera Malaysia Mejar Jeneral (B) Datuk S. Suriakala yang merupakan penerima tahun lepas.

Penerima PSD pada tahun ini pula ialah Setiausaha Bahagian, Bahagian Sumber Manusia, Jabatan Perdana Menteri Datuk Shahrul Kamal Osman dan bekas Asisten Ketua Staf Perkhidmatan Anggota, Markas Angkatan Tentera Leftenan Jeneral (B) Datuk Haji Azlan bin Abdul Rahman. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

162
Previous post Darah kepimpinan turun dari arwah ayah – Zulkiflee
Next post BN dan PN tidak yakin menang, calonkan timbalan menteri dan Timbalan Speaker Dewan Negara