Ahli akademik, sertailah dan perkasakan bola sepak Malaysia!

Masa Membaca:4 Minit, 1 Saat

Oleh Faisal Zakariah

KERANA melihat perkembangan bola sepak yang kian melencong di negara ini, banyak kajian ahli akademik dijalankan namun Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pula tampak berat untuk mengadakan kerjasama dengan pihak universiti secara rasmi.

Mungkin kajian itu ibarat sampah buat mereka – menyemak dan menjengkelkan. Ahli akademik dan pengamal sukan, duduklah semeja. Simpanlah ego itu, bukan semua kita buat itu betul jika tanpa panduan ilmu. Bukan juga jawatan disandang itu bererti kita di landasan yang benar.

Jawatan itu bukan taraf tetapi tanggungjawab. Di FAM, pasti ada yang bekerja tanpa konsisten dengan agenda perubahan. Mereka mungkin menguruskan, bukannya menyampaikan penyelesaian yang berkualiti dan tiada kedalaman teknikal yang mencukupi tetapi berjaya menarik perhatian dengan janji kosong. Hanya penyambar peluang. Bila berjaya, merekalah ke depan, bila berfikir, jauh ke belakang.
Peminat dan pemerhati inginkan sesuatu yang jauh lebih baik seiring peredaran teknologi dan zaman. Sesuatu yang realiti walaupun pahit tetapi lebih baik daripada kabus hipokrasi yang sukar memahami kebenaran.

Bola sepak Malaysia kini merupakan perniagaan yang serius dan memerlukan pendekatan pengurusan profesional. Isu tadbir urus telah lama ‘bernanah’ dalam persatuan-persatuan bola sepak (FA) negeri. FAM perlu membantu dalam mengasaskan semua tindakan bagi mengukuhkan FA-FA yang bermasalah demi faedah pihak berkepentingan – kelab, pemain dan pegawai serta pentadbir.

FAM, bekerjasamalah dengan universiti-universiti, Institut Sukan Negara dan Majlis Sukan Negara bagi merealisasikan usaha ini. Juga perlu ada jabatan/unit baharu pendidikan FAM yang diketuai orang yang berkelayakan dalam pendidikan dan pengurusan bola sepak.

Saya pernah membuat kajian, ‘Transformasi Bola Sepak Di Malaysia’ berdasarkan kualitatif kaedah penyelidikan yang memperoleh dapatan berikut:-

• Tiada atau kurang kemahiran pengurusan bola sepak
Pengurusan baik ahli-ahli gabungan FA akan banyak membantu FAM. Bukan semua pentadbirnya atau kelab bola sepak mempunyai latar belakang atau pengalaman serta ilmu pengurusan bola sepak walaupun berkelayakan tinggi akademik. Lemah di sini, maka lemahlah FAM nanti.

Langkah penswastaan kelab bola sepak (FC) oleh FAM pada 2021 menyaksikan pentadbir-pentadbir ini kekurangan idea, ilmu, kemahiran, perancangan dan perhubungan awam. Bergantung kepada bantuan lain terutamanya kerajaan negeri menjadi jalan pilihan mudah. Perak FC sebagai contoh terkini 2022.

• Penglibatan ahli politik
Mereka dalam pengurusan pasukan bukan aneh di Malaysia termasuk sukan-sukan lain malah sudah jadi budaya. Ramai yang berjaya menjadi pemimpin sukan, tidak kurang juga yang gagal. Kehadiran mereka kadangkalanya amat dialu-alukan FA. Yalah, minta apa sahaja, ahli politik jarang nak kata tidak. Bukan satu kesalahan, cuma tidak seronoknya ialah konco-konco mereka yang ‘lebih sudu daripada kuah’.

Pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT) FC, Tunku Ismail Sultan Ibrahim pernah berkata dalam satu program TV pada 17 Disember 2020: “Tidak begitu teruk (ahli politik dalam bola sepak) tetapi memerlukan orang yang sesuai mengendalikan dan mempunyai semangat bola sepak. Dua jenis manusia dalam industri bola sepak, mahu berjaya atau menjadi terkenal. Politik boleh meruntuhkan bola sepak negara jika diteruskan.”

“Ahli politik memiliki tugas tersendiri, berbakti kepada rakyat. Jadi mereka tidak boleh menguruskan bola sepak. Keutamaan harus kepada kelab dan lebih baik tugas itu diberikan kepada mereka yang arif dan selayaknya serta sepenuh masa. Di JDT FC, saya memiliki pasukan pengurusan daripada bola sepak, pengarah teknikal dan pengarah sukan JDT merupakan bekas pemain dan amat mengenali situasi yang perlu dilalui dalam bola sepak.”

• Dana dan penaja
Apabila kebiasaannya duit datang daripada kerajaan negeri, segala-galanya dibelanjakan tanpa memikirkan hari esok. Lagi cepat lagi baik. Belanja dulu, belanjawan kemudian. Tiada usaha langsung menjana sumber kewangan. Tanpa bantuan ini, terjejaslah prestasi FC itu, hutang gaji mulalah tertunggak berbulan-bulan. Inikah bola sepak Malaysia yang memasuki era profesional sejak 2004? Berulang-ulang episodnya!

• Rasuah dan salah guna kuasa
Kajian ahli akademik mendapati kejatuhan bola sepak negara bermula pada pertengahan 80-an dan diburukkan skandal rasuah besar-besaran pada 1994 hingga 1995 serta disumbangkan oleh kegagalan beberapa pasukan membayar gaji pemain dan pegawai mereka. Selebihnya kerana tamak, kelemahan pengurusan dalaman dan kewujudan peluang-peluang tanpa kawalan.

Gejala sosial ini akan menular pula kepada ‘insider trading’ (perdagangan orang dalam) iaitu membeli dan menjual dengan bantuan maklumat yang diketahui oleh mereka yang berkaitan pasukan tertentu. Seterusnya ‘tax evasion’ (mengelak cukai). Apabila bola sepak kita semakin maju dengan kadar pembelian dan penjualan pemain serta pembayaran gaji tanpa had, akan timbullah ‘money laundering’ (pengubahan wang haram), ‘offshore tax scam’ (penipuan cukai terancang) dan ‘violation of foreign exchange regulation’ (pencabulan peraturan tukaran mata wang asing).

Sebagai penulis saya cuma memberikan idea satu sen sahaja, mungkin tiada nilai pada mata anda tetapi tetap ikhlas demi memartabatkan bola sepak Malaysia.

*Faisal Zakariah adalah graduan Universiti Bedfordshire, United Kingdom dengan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Bola Sepak dan Sarjana Pengurusan Sukan. Berpengalaman 28 tahun dalam pengurusan sukan. Bekas pentadbir kelab Public Bank dan Felda United selain Ahli Jawatankuasa Pertandingan, Bola Sepak Pantai dan Futsal Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM). Pernah menjadi kolumnis Berita Harian dan tetamu bual bicara Astro Arena, TV3 dan RTM.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1269
Kongsi :
Previous post 12 peserta berentap pertandingan akhir Majlis Tilawah Al-Quran DMDI ke-12
Next post ‘Terima kasih cikgu belanja baju raya’
Ubah saiz-+=