‘Terima kasih cikgu belanja baju raya’

Masa Membaca:2 Minit, 3 Saat

AYER KEROH 8 April – “Alhamdulillah gembira sangat dapat baju raya percuma hari ini, jadi tak perlulah mak belikan lagi baju raya untuk saya,” kata Khairunnisa Najriena Khairulnizam, 11.

KHAIRUNNISA

Khairunnisa antara 70 murid asnaf yang diberi peluang memilih baju raya menerusi Program Pembelian Baju Raya dan Kelengkapan Untuk Murid Asnaf dan Yatim Sekolah Kebangsaan Jalan Datuk Palembang di Pasar Raya MyDin MITC, di sini, semalam.

Berkongsi kegembiraan Khairunnisa tidak menyangka tahun ini dapat menyambut Hari Raya Aidilfitri dengan lebih meriah kerana pihak sekolah prihatin membantu golongan memerlukan sepertinya.

“Perasaan teruja, gembira semua ada rasa tak sabar nak pilih baju raya. Ibu saja boleh berjimat gunakan wang yang ada untuk beli baju raya kakak berusia 15 tahun, lagipun kami hanya dua beradik.

“Sebelum datang memang sudah fikir nak beli baju warna hitam dengan ungu untuk tema tahun ini, rasa seronok sangat dan tak sabar nak raya, terima kasih cikgu bagi baju raya percuma,” katanya yang bersekolah di SK Jalan Datuk Palembang, Bukit Baru.

NURUL Izzah

Seorang peserta Nurul Izzah Abdul Rahim, 9, turut bersyukur diberikan peluang untuk memilih baju raya sendiri tahun ini mengikut kesukaannya.

“Saya ada enam beradik, bila pihak sekolah bagi sumbangan begini saya gembira sangat…memang masa nak datang dah fikir nak beli baju warna hitam dan ‘peach’.

“Ayah hanya kerja tanam sayur dan mak pula guru tadika, jadi untuk beli kelengkapan hari raya mungkin susah ditambah pula adik-beradik ramai, syukur alhamdulillah pihak sekolah sudi membantu kami,” katanya.

Sementara itu, Guru Penolong Kanan (GPK) Hal Ehwal Murid SK Jalan Datuk Palembang, Farahduza Baharim berkata inisiatif itu dilaksanakan setiap tahun bagi membantu anak-anak memerlukan menyambut Aidilfitri.

FARAHDUZA (kanan) mengukur baju raya untuk murid asnaf.

“Setiap murid diberikan kelengkapan hari raya baju kurung, tudung, baju Melayu dan songkok untuk persiapan raya dengan perbelanjaan kira-kira RM70 seorang.

“Dengan bantuan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah, hari ini seramai 70 murid-murid terdiri daripada 26 lelaki dan 44 perempuan diberikan baju raya percuma.

“Semua dana ini kita kumpul sebelum puasa lagi daripada individu persendirian dan beberapa syarikat luar yang sudi menyumbang,” katanya.

GURU SK Jalan Datuk Palembang memakaikan songkok untuk murid lelaki.

Hadir sama Yang Dipertua PIBG SK Jalan Datuk Palembang Zainariah Zainal Abidin.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1397
Kongsi :
Previous post Ahli akademik, sertailah dan perkasakan bola sepak Malaysia!
Next post Polis Perak rampas 4.5 kg dadah, tahan pengedar di tepi ladang kelapa sawit
Ubah saiz-+=