Ahli Majlis MBMB perlu tingkat momentum

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

DUYONG 31 Disember – Kesemua Ahli Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) perlu meningkatkan momentum dan gerak kerja sepanjang 2023 bagi menyelesaikan segala aduan warga bandaraya.

Ketua Ahli Majlis MBMB Clr. Ab. Razak Abu berkata, sebagai perantara pihak berkuasa tempatan (PBT) dan masyarakat, setiap Ahli Majlis bukan saja berperanan membantu rakyat tetapi juga membantu pembentukan dasar yang menepati citarasa masyarakat.

Katanya, pada masa sama, Ahli Majlis juga perlu menitikberatkan aspek pembangunan insan di kawasan masing-masing bagi memastikan kehidupan warga bandaraya dalam keadaan selesa dan sejahtera.

“Untuk tahun 2023, Datuk Bandar MBMB Datuk Zainal Abu juga ada menyuarakan antara fokus utama MBMB adalah untuk membantu rakyat yang susah.

“Membantu ini bukan sahaja membabitkan infrastruktur tetapi juga menitikberat pembangunan modal insan bagi memastikan warga bandaraya dapat meneruskan kehidupan dengan selesa.

“Jadi, saya berharap selepas bekerja dengan baik pada 2022, semua Ahli Majlis MBMB akan meningkatkan momentum itu sebagai orang tengah yang membantu rakyat dan MBMB,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas Pertandingan Memancing Anjuran Japerun Duyong dan MBMB di Tali Air Padang Permainan Semabok Setia, di sini, hari ini.

Majlis itu telah dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong Mohd Noor Helmy Abdul Halem dan turut dihadiri Setiausaha Bandaraya Ts Noramirul Nizam Kamis.

Mengulas lanjut, Ab. Razak berkata, sepanjang 2022, Ahli Majlis MBMB telah menggalas amanah dan tanggungjawab cukup baik dalam menyalur serta membantu menyelesaikan segala aduan rakyat.

Malah, katanya, kesemua mereka juga berjaya memastikan tiada aduan tertunggak yang masih belum diambil tindakan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1655
Kongsi :
Previous post 2023 tahun ‘merakyatkan’ MBMB
Next post ‘2022 tutup buku’: Imbasan Julai 2022
Ubah saiz-+=