2023 tahun ‘merakyatkan’ MBMB

Masa Membaca:58 Saat

DUYONG 31 Disember – Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) akan menjadikan tahun 2023 sebagai tahun untuk mendekatkan diri dengan masyarakat di Bandaraya Melaka.

Setiausaha Bandaraya Ts Noramirul Nizam Kamis berkata, dalam merealisasikan hasrat itu, pihaknya bercadang untuk menganjurkan karnival mini di semua 11 Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah pentadbiran MBMB.

“Antara pengisian karnival mini itu ialah aktiviti berteraskan rakyat seperti sukaneka, selain kita juga akan membuka kaunter aduan dan kaunter pengurangan kompaun kepada masyarakat.

“Setiap karnival yang diadakan ini akan dikelola atau diurus oleh Ahli Majlis MBMB di setiap kawasan bagi menjayakan program tersebut.

“Ini adalah antara fokus utama kita untuk ‘merakyatkan’ MBMB dan mendekatkan diri dengan masyarakat Bandaraya Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas Pertandingan Memancing Anjuran Japerun Duyong dan MBMB di Tali Air Padang Permainan Semabok Setia, di sini, hari ini.

Majlis itu telah dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong Mohd Noor Helmy Abdul Halem dan turut dihadiri Ketua Ahli Majlis MBMB Clr. Ab. Razak Abu.

Mengulas mengenai perancangan lain MBMB sepanjang 2023, Noramirul Nizam berkata, pihaknya juga akan menumpukan kepada pembangunan dan peningkatan servis kepada warga bandaraya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1870
Kongsi :
Previous post ‘2022 tutup buku’: Imbasan Jun 2022
Next post Ahli Majlis MBMB perlu tingkat momentum
Ubah saiz-+=