Ahmad Zahid nafi letak jawatan Pengerusi BN, Presiden UMNO

Masa Membaca:1 Minit, 3 Saat

KUALA LUMPUR, 23 Nov – Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menafikan akan meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Barisan Nasional (BN) dan Presiden UMNO sepertimana didakwa satu kenyataan media yang tular menerusi media sosial.

Dalam kenyataan di Facebook rasminya hari ini, beliau berkata surat atau kenyataan media yang disebarkan adalah palsu dan rekaan pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Mohon jangan dikeruhkan lagi keadaan… Mohon doakan yang terbaik dalam keadaan sekarang ini,” kata Ahmad Zahid yang turut memuat naik kenyataan media berkenaan dalam Facebook beliau.

Kenyataan media dengan kepala surat BN Malaysia bertarikh 22 Nov itu turut mendakwa satu mesyuarat tergempar diadakan semalam dihadiri pemimpin utama parti komponen BN yang membuat beberapa keputusan termasuk menentukan sokongan kepada gabungan yang akan membentuk Kerajaan Persekutuan.

Kenyataan media itu turut mendakwa keinginan Ahmad Zahid untuk meletakkan kedua-dua jawatannya dalam parti atas kekalahan BN pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), selain menyerahkan kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi memangku kedua-dua jawatannya sehingga pemilihan UMNO Januari 2023.

Pada PRU15, BN hanya memperoleh 30 kerusi Parlimen, Pakatan Harapan (82), Perikatan Nasional (73), Gabungan Parti Sarawak (23), Gabungan Rakyat Sabah (enam), Warisan (tiga), Parti Bangsa Malaysia serta Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat masing-masing satu manakala Bebas (dua).

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2096
Kongsi :
Previous post Perbincangan Khas Raja-raja Melayu di Istana Negara esok
Next post Polis perketat kawalan keselamatan dan SJR di Istana Negara
Ubah saiz-+=