Aidilfitri: Otai laut berkorban demi negara

Masa Membaca:2 Minit, 9 Saat

KUALA LINGGI 28 April – Atas dasar menjaga keselamatan dan kedaulatan Malaysia dua anggota senior Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) tidak kisah menyambut Aidilfitri di perairan negara khusus sepanjang pelaksanaan Op Pagar Laut.

Bagi mereka tugas diamanahkan perlu digalas dan dilaksanakan sebaik mungkin meskipun sudah tiga tahun berturut-turut tidak menyambut 1 Syawal bersama keluarga tersayang dan sanak-saudara di kampung.

PEGAWAI dan anggota Maritim Malaysia Melaka/Negeri Sembilan ketika melakukan rondaan sekitar perairan Selat Melaka, sepanjang Op Pagar Laut

Bintara Muda Maritim Mohd Mustaza Mohamad Nasir berkata, sebagai ketua bot Kilat 19, peranannya amat penting terutama ketika melakukan pemeriksaan terhadap atau kapal sebarang aktiviti mencurigakan di laut.

“Mungkin ini kali terakhir saya menyambut 1 Syawal di laut bersama rakan setugas kerana akan bersara pada 23 Mei tahun hadapan selepas 17 tahun berkhidmat bersama Maritim Malaysia.

“Secara keseluruhan jika dicampur perkhidmatan terdahulu bersama Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) saya menghabiskan masa selamat 32 tahun menjaga kedaulatan sempadan maritim negara,” katanya ketika ditemui di Pejabat Maritim Malaysia Melaka/Negeri Sembilan, di Kuala Linggi, di sini, semalam.

ANGGOTA Maritim Malaysia Melaka/Negeri Sembilan yang terbabit dalam penugasan Op Pagar Laut meluangkan azan sebelum berbuka puasa di perairan Selat Melaka, berhampiran Kuala Linggi

Meskipun berasal dari Alor Gajah, Mohd Mustaza akan pulang ke Kuala Lumpur untuk menyambut Aidilfitri pada Syawal ketiga berikutan ahli keluarganya tinggal di sana.

Berkongsi pengalamannya Mohd Mustaza berkata, berbuka puasa ketika Ramadan atau menyambut 1 Syawal di laut sudah menjadi kebiasaan baginya.

Katanya, pada kebiasaan pegawai dan anggota terbabit dalam penugasan operasi akan membuat persiapan dengan membawa hidangan siap dibungkus untuk berbuka puasa.

BINTARA Kanan Maritim Tuan Shamshul Bahari  Tuan Abdullah

Sementara itu Bintara Kanan Maritim Tuan Shamshul Bahari Tuan Abdullah yang juga orang lama dalam perkhidmatan Maritim Malaysia berkata, rakan setugas menjadi pengganti keluarga tercinta yang memeriahkan sambutan pada pagi 1 Syawal setiap kali dia terpaksa bertugas pada Aidilfitri.

“Tahun ini adalah kali ketiga saya tidak dapat menyambut 1 Syawal bersama keluarga, tidak mengapa semua ini adalah demi tugas dan tanggungjawab kami sebagai warga Maritim Malaysia.

“Menyambut 1 Syawal di laut atau pejabat juga tetap meriah, semua ini menjadi asam garam bagi saya yang sudah berkhidmat selama 17 tahun bersama Maritim Malaysia,” katanya.

Operasi Khas Pagar Laut siri 1/2022 bermula 19 April hingga 17 Mei 2022 di seluruh perairan Malaysia, bertujuan mengekang aktiviti penyeludupan rokok, migran dan membanteras jenayah di laut.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

865
Kongsi :
Previous post Bicara kes Ismahalil bermula 19 Oktober
Next post Jasad Nagaenthran disemadikan di Buntong Jumaat ini
Ubah saiz-+=