Ajal ketika berkonvoi

Masa Membaca:1 Minit, 3 Saat

LENDU 19 Ogos – Kegembiran lima penunggang motosikal berkonvoi dari Pahang ke Melaka berakhir tragedi apabila salah seorang daripada mereka maut dalam kemalangan dengan sebuah lori di Jalan Paku, di sini, tengah hari tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.40 tengah hari itu, mangsa Ahmad Muadz Mohamad Norad, 31, yang beralamat di Permatang Badak Baru, Kuantan, Pahang meninggal dunia akibat kecederaan parah pada anggota badan.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Arshad Abu berkata, mangsa yang juga penghantar barangan kurier bersama rakan dan adiknya sedang dalam perjalanan dari arah Alor Gajah menghala ke Masjid Tanah.

Katanya, sewaktu tiba di lokasi kejadian, motosikal jenis Honda RS ditunggang mangsa hilang kawalan dan terjatuh di laluan bertentangan sebelum merempuh lori dipandu lelaki berusia 33 tahun.

“Kemalangan berlaku di laluan dua hala berselekoh dan ketika kejadian keadaan cuaca hujan.

“Akibat kemalangan itu, mangsa telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Alor Gajah untuk bedah siasat,” katanya.

Beliau berkata, kenderaan terlibat dibawa ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) untuk pemeriksaan.

Katanya, saringan air kencing ke atas pemandu lori juga telah diambil dan didapati negatif dadah.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

76566
Kongsi :
Previous post GWS Group luaskan empayar perniagaan komputer
Next post 1,000 ‘jalan-jalan malam’ di Banda Hilir
Ubah saiz-+=