GWS Group luaskan empayar perniagaan komputer

Masa Membaca:1 Minit, 55 Saat

DURIAN TUNGGAL 19 Ogos – Global We Shop (GWS) Group Sdn Bhd menyasarkan untuk memperluas empayar perniagaan kedai komputernya dengan membuka beberapa lagi cawangan dalam negara.

Pengarah GWS Group Sdn. Bhd. Mohamad Firdaus Mohd Dahari berkata, selepas membuka cawangan kedua di Durian Tunggal, sasarannya untuk tempoh lima tahun akan datang adalah melebarkan jenama GWS Group ke selatan tanah air.

“Dalam masa terdekat ini kami mahu stabil dan fokuskan kepada premis sedia ada dahulu iaitu di Taman Tasek Utama Ayer Keroh dan cawangan di Durian Tunggal yang baharu dibuka pada Mac lalu.

“Selepas ini kita rancang mungkin di Negeri Sembilan atau Johor, iaitu sebelah selatan dahulu kerana mudah untuk kami bergerak dan menguruskan perniagaan kerana berdekatan, sebelum melebarkan sayap ke negeri lain,” katanya.

Usahawan muda itu ditemui ketika majlis pembukaan rasmi kedai komputer GWS Durian Tunggal, hari ini.

IMG-20230819-WA0073
MOHAMAD Firdaus melihat antara komputer riba yang dijual di premisnya di GWS Durian Tunggal.

Menurut anak kelahiran Jitra, Kedah itu, walaupun dirinya meminati bidang perniagaan tetapi tidak pernah terfikir akan berada pada kedudukan sekarang kerana ketika awal pembabitan, perniagaannya hanya beroperasi di dalam sebuah bilik di bangunan rumah kedai.

“Saya bermula dalam perniagaan berasaskan komputer pada 2013 dan hampir 10 tahun ia diterima malah jenama yang kami bawa GWS Group diterima ramai buat mereka yang ingin mendapatkan perkhidmatan berkaitan komputer.

“Kami berbesar hati kerana pelanggan kami bukan hanya dalam kalangan penduduk Melaka, malah mereka yang tinggal di Pagoh, Johor, Shah Alam, Selangor dan Negeri Sembilan datang ke sini untuk membeli komputer dengan kami,” katanya.

Mohamad Firdaus berkata, meskipun harga komputer yang ditawarkan di kedainya tidak jauh beza dari premis lain tetapi di GWS Group ada menjual komputer terpakai dengan harga yang rendah serta mampu milik.

“Kita hendak tolong orang-orang yang tiada komputer atau komputer riba dan tidak mampu membelinya jadi kita sediakan dengan harga yang murah. Di sini harga bermula dari RM250 hinggalah ribuan ringgit.

“Malah kita pernah menjual laptop terpakai dengan harga serendah RM100, promosi ini dibuat untuk menghabiskan stok yang kami miliki di gudang.

“Selain itu, setiap orang yang datang boleh tengok komputer riba mana yang mereka minat dan kita boleh cadangkan yang sesuai mengikut keperluan serta harga,” katanya yang kini mempunyai seramai 20 kakitangan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2976
Kongsi :
Previous post Sukan satukan warga kerja TM Melaka
Next post Ajal ketika berkonvoi
Ubah saiz-+=