Sukan satukan warga kerja TM Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 48 Saat

AYER KEROH 19 Ogos – Penganjuran acara sukan menjadi simbol penyatuan hampir 1,000 warga kerja Telekom Malaysia (TM) Negeri Melaka.

Menerusi kejohanan Sukan TM Melaka (SUTMEL) yang diadakan di perkarangan Bangunan TM Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini, ia menampilkan sebanyak 10 jenis sukan, termasuk sukan rakyat.

Pengurus Besar TM Melaka, Datuk Rozlan Mohamed berkata, kejohanan itu diadakan semula selepas hampir tujuh tahun yang mana ia berobjektifkan mahu memperkukuh ikatan warga kerja syarikat berkenaan.

Katanya, pada masa sama, kejohanan itu juga diadakan bagi mencari bakat sukan baharu untuk mewakili TM Melaka beraksi di Karnival Sukan Telekom (KASTEL) yang dijangka akan diadakan di Pulau Pinang, Februari tahun depan.

IMG_20230819_172527_265
WOODBALL antara sukan yang dipertandingkan. Foto Iqmal Haqim Rosman

“Saya percaya bakat sukan dari TM Melaka memang ramai, tetapi mereka tidak dapat serlahkan kerana kurangnya kejohanan dan pendedahan.

“Jadi kita ambil inisiatif anjurkan semula SUKMEL selepas kali terakhir diadakan pada tahun 2016 dan kita melihat sambutannya cukup baik yang mena selama ini ramai yang tidak dapat berjumpa di antara satu sama lain, dapat bertemu kembali pada kejohanan ini.

“Alhamdulillah, apabila kita perkenalkan juga sukan rakyat seperti congkak, batu seremban, woodball dan lain-lain, kemeriahan itu lebih dirasai kerana semua warga kerja boleh menyertai sukan yang diadakan kali ini,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

IMG_20230819_172446_132
ROZLAN

Dalam pada itu, ditanya mengenai sumbangan TM Melaka kepada rakyat negeri ini, Rozlan memaklumkan pihaknya sentiasa komited menganjurkan program berbentuk tanggungjawab sosial korporat (CSR) pada setiap tahun menerusi Kelab TM Melaka, Persatuan Isteri dan Anggota Wanita TM (TERANITA) serta Badan Kebajikan Islam TM Melaka (BAKIT).

Jelasnya, sepanjang tahun ini, pihaknya bergiat aktif dalam menyantuni program berbentuk kemasyarakatan seperti mengedar bubur lambuk di tujuh Dewan Undangan Negeri (DUN) sempena Ramadan, selain penyampaian zakat kepada rakyat kurang bernasib baik.

“Selain itu, TM juga berhasrat membantu lebih ramai usahawan kecil di negeri ini membesarkan perniagaan mereka menerusi geran daripada Yayasan TM.

“Malah, kita juga bersama SME Corp akan membantu usahawan terpilih dalam aspek pemasaran dalam talian (online marketing),” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3766
Kongsi :
Previous post KPT pertimbang laksana program TVET peringkat ijazah di Politeknik
Next post GWS Group luaskan empayar perniagaan komputer
Ubah saiz-+=