Ajal penunggang motosikal rempuh kereta
ALOR GAJAH 12 Julai – Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya merempuh sebuah kereta yang membuat pusingan U dalam kemalangan di Lebuh Alor Gajah – Melaka – Jasin berhampiran simpang Melekek di sini semalam.
Dalam kemalangan pada jam 4.50 petang itu, Mazlan Mohamed, 57 yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y16 maut di lokasi kejadian akibat parah di kepala manakala seorang lelaki yang memandu kereta jenis PERODUA Myvi tidak cedera.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata siasatan awal mendapati pemandu kereta berkenaan membuat pusingan U di simpang berkenaan untuk menghala ke Simpang Ampat.
Katanya, motosikal berkenaan dari arah Alor Gajah menghala ke Simpang Ampat.
“Kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta terbabit melakukan pusingan U di tempat dibenarkan namun motosikal yang datang dari arah bertentangan tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian tepi sebelah kiri pintu belakang kereta tersebut.
“Akibat pelanggaran itu, penunggang motosikal disahkan maut di lokasi kejadian dan mayatnya dibawa ke Hospital Alor Gajah untuk bedah siasat,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Mengulas lanjut, beliau berkata kedua-dua kenderaan dibawa ke Puspakom untuk pemeriksaan kenderaan.
Katanya, saksi kejadian diminta tampil untuk bantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.