‘Alhamdulillah, masih berpeluang bertemu Ramadan’

Masa Membaca:1 Minit, 49 Saat

TANJUNG BIDARA 30 April – Seorang ahli perniagaan tidak menyangka berpeluang bertemu Ramadan kali ini ketika nyawanya hampir tiada lagi akibat diserang pandemik COVID-19 pada Ogos tahun lalu.

Datuk Abdul Mutalif Che Mat, 60, berkata apabila oksigen dalam tubuhnya semakin berkurangan daripada 80 peratus, beliau menyangkakan tidak akan bertemu Ramadan lagi.

Beliau yang juga Pengerusi Masjid al-Ehsan, Kampung Londang, di sini berkata, kebimbangannya tidak mampu meneruskan kehidupan akibat diserang COVID-19 tahap lima bertambah kuat selepas Naib Pengerusi masjid itu, Allahyarham Azizan Hassan meninggal dunia akibat pandemik berkenaan pada 10 Ogos 2021.

Katanya, beliau sempat membaca pesanan ringkas melalui aplikasi WhatsApp arwah terbabit yang meminta maaf atas segala kesilapannya dan menghalalkan makan serta minumnya.

Abdul Mutalif berkata, beliau pada mulanya menyangka akan mengikuti pemergian arwah Azizan apabila oksigen dalam badan semakin berkurangan yang menyebabkan doktor di Hospital Melaka terpaksa menidurkannya.

“Alhamdulillah, selepas beberapa hari dimasukkan oksigen, saya terlepas daripada saat yang amat menakutkan dan kembali sihat tidak berapa lama selepas itu.

“Tuhan masih panjangkan nyawa saya dan dapat bertemu lagi dengan Ramadan kali ini serta dapat meneruskan program membantu asnaf,” katanya ketika berucap pada majlis penyampaian wang tunai kepada 40 asnaf di masjid berkenaan hari ini.

Katanya, sejak 10 tahun lalu, beliau menyumbangkan wang tunai kepada asnaf menjelang Aidilfitri manakala arwah Azizan memberikan bahan makanan seperti beras, gula, tepung, minyak masak dan seumpamanya pada program seumpama itu.

Bagaimanapun, kali ini beliau berseorangan untuk membantu meringankan beban asnaf menyambut Aidilfitri dan berharap agar ia sedikit sebanyak memberi kelegaan kepada asnaf terbabit membuat persediaan menyambut 1 Syawal yang dijangka Selasa ini.

Sementara itu, asnaf, Nyemah Jamal, 80, berkata beliau amat bersyukur apabila dipilih sebagai penerima sumbangan itu.

“Suami sudah lama meninggal dunia dan saya tidak ada anak, jadi saya menumpang kasih adik-beradik dan cucu saudara yang sentiasa mengambil berat kesihatan saya sepanjang saya hidup berseorangan,” katanya.

Ahmad Fahim Mohd Khir, 14, berkata beliau yang mewakili bapanya, Mohd Khir Rashidi, 44, berterima kasih kepada Abdul Mutalif yang sudi membantu bapanya yang terlantar akibat sakit buah pinggang.

“Ayah selalu buat dialisis, jadi kami bergantung kepada pendapatan ibu yang bertugas sebagai kerani di sebuah syarikat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1308
Kongsi :
Previous post Semua aktiviti sukan dan rekreasi dibenar tanpa sekatan, status vaksinasi – KBS
Next post Hapus 195,664 keluarga miskin tegar menjelang 2025
Ubah saiz-+=