Alumni terus cakna pembangunan UTeM

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

DURIAN TUNGGAL 4 November – Meskipun sudah menamatkan pengajian namun ramai dalam kalangan alumni Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) tetap cakna dan tampil menghulurkan sumbangan dalam usaha berterusan untuk meningkatkan lagi imej UTeM sebagai sebuah universiti teknikal terkemuka nasional.

Naib Canselor UTeM Prof Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, sumbangan daripada alumni dianggap sebagai amat membantu khusus dalam menjayakan pelbagai program untuk pembangunan pelajar.

Massila melahirkan rasa bangga apabila UTeM berjaya mengumpul dana berjumlah RM400,000 hasil sumbangan alumni yang digunakan untuk meraikan graduan pada Majlis Konvokesyen ke-18 universiti itu.

“Saya terharu dengan keprihatinan alumni, sebelum ini kami khuatir bagaimana mahu anjurkan konvokesyen pertama selepas pandemik, namun atas kerjasama mereka semua yang tampil menghulurkan sumbangan perancangan ini berjaya dilaksanakan.

“Setakat ini, jumlah graduan UTeM adalah seramai 38,000 dan ramai dalam kalangan alumni kami menempa mana dalam pelbagai bidang. Sebagai wakil tertinggi universiti ini saya sentiasa terbuka dan memberi peluang kepada alumni untuk bekerjasama dengan UTeM,” katanya kepada Melaka Hari Ini selepas menghadiri Majlsi Perasmian Festival Konvo Tuah UTeM ke-18 dirasmikan Pro Canselor UTeM, Tan Sri Datuk Seri Dr Halim Saad.

Pada majlis sama Massila menerima replika cek daripada beberapa penyumbang yang antaranya Syarikat Himex Sdn Bhd, Farhan Food Industries dan Koko Minda Food Industries.

Menurutnya pelbagai aktiviti menarik dianjurkan sepanjang pesta konvokesyen berlangsung, bertujuan untuk memeriahkan lagi sambutan selepas dua tahun tidak diadakan susulan pandemik COVID-19.

“Secara rasmi Majlis Konvokesyen akan bermula esok dan akan disempurnakan Yang di-Pertua Negeri yang juga Canselor UTeM, Tun Seri Setia (Dr) Mohd Ali Mohd Rustam yang akan menyampaikan anugerah kepada graduan bakal bergelar Prof Emeritus daripada Fakulti Elektrikal Elektronik.

“Pada kali ini, kami turut anjurkan UTeM Career Fair yang menawarkan lebih 1,000 pekerjaan bukan sahaja kepada graduan sebaliknya orang ramai, alumni dan anak Melaka yang datang untuk memeriahkanpesta konvokesyen sehingga 7 November nanti,” katanya.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

5559
Kongsi :
Previous post Luluh hati ibu anak bongsu ditemukan lemas
Next post Masyarakat main peranan penting elak kejadian lemas
Ubah saiz-+=