Alumni UTeM ketua jurutera bangunkan kereta perisai mobiliti tinggi 4×4

Masa Membaca:1 Minit, 51 Saat

DURIAN TUNGGAL: Siapa sangka, ketua jurutera dalam menjayakan projek kenderaan berperisai mobiliti tinggi (HMAV) empat roda (4×4) adalah alumni Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM).

Khairul Hazwan Mohd Rasit graduan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Mekanikal (Automotif), membangunkan kenderaan itu bersama sekumpulan anak tempatan menerusi syarikat Mildef International Technologies Sdn Bhd yang berpangkalan di Sepang, Selangor.

Syarikat perkhidmatan automotif kegunaan industri pertahanan Malaysia itu memiliki kepakaran dalam bidang Penyelidikan dan Pembangunan (R&D), reka bentuk, aplikasi dan penyelenggaraan bagi industri terbabit.

Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Wira Dr Raha Abdul Rahim kejayaan itu memberikan impak langsung kepada universiti terbabit kerana berjaya melahirkan graduan unggul dalam bidang teknikal.

“Pihak UTeM teruja dengan pencapaian berprestij ini kerana menggambarkan penzahiran peranan UTeM melahirkan graduan unggul dalam bidang teknikal kepada negara dan dunia adalah satu kenyataan.

“Graduan UTeM turut menjadi buruan majikan dan industri pelbagai sektor dari seluruh dunia dan perkara ini selari dengan kedudukan UTeM yang berada pada kedudukan tiga teratas bagi kadar kebolehpasaran graduan dalam kalangan universiti awam dalam negara,” katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau berkata, pelaksanaan strategi dan formula khas UTeM turut berkait rapat dengan kejayaan penghasilan graduan unggul iaitu menerusi konteks pengisian daripada kerangka kerjasama strategik UTeM bersama rangkaian industri dunia.

Sementara itu, Khairul Hazwan berkata, pengajian di UTeM adalah komprehensif dan beracuan Revolusi Industri 4.0 sekali gus melahirkan penuntut berkemahiran dalam perindustrian.

Katanya, kemahiran perindustrian yang diterapkan amat membantu dalam proses reka bentuk dan pembuatan produk.

“Hasil pembelajaran di UTeM juga membuatkan saya rasa seperti sudah berpengalaman dalam bidang perindustrian dan pengisian ini menjadi satu suntikan hebat kepada saya sebagai ketua jurutera bagi penghasilan kereta perisai pertama negara ini.

“Sepanjang empat tahun menuntut di UTeM dari tahun 2011, kami diajar dengan kepakaran teori dan kemahiran berkaitan jentera perindustrian terkini dan bertaraf global.

“Selain itu, penuntut juga melalui tempoh masa yang agak panjang pembelajaran secara amali mesin berteknologi tinggi di bawah seliaan tenaga akademik UTeM yang berpengalaman luas dalam bidang industri multinasional dari seluruh dunia,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan buat UTeM yang telah mencorakkan dirinya menjadi jurutera profesional bertaraf dunia dan berharap UTeM terus melahirkan graduan unggul menyumbangkan kepakaran kepada negara dan dunia.

#KenderaanBerperisai #HMAV4×4 #MILDEF

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1631
Kongsi :
Previous post NPRA tanya 300 soalan, pastikan vaksin selamat, berkualiti- Khairy
Next post Vaksin COVID-19 keluaran Sinovac tiba di Malaysia
Ubah saiz-+=