Aman Palestin agih 450 kg daging korban kepada asnaf

Masa Membaca:1 Minit, 3 Saat

AYER KEROH 3 Ogos – Aman Palestin Berhad (Aman Palestin) mengagihkan 450 kilogram (kg) daging korban kepada 300 keluarga asnaf di negeri ini.

Pengurus Aman Palestin Cawangan Melaka, Muhammad Zulfikar Azlan Mohd Shariff berkata, agihan itu disampaikan menerusi Projek Khas Prihatin Malaysia ‘Daging Sejuk Beku’ melibatkan 10 kariah masjid di tiga daerah iaitu Alor Gajah, Melaka Tengah dan Jasin.

“Kita tidak melupakan rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan dan sokongan, projek ini diharap memberi sedikit kelegaan selain manfaat besar kepada mereka yang memerlukan.

“Setiap keluarga menerima sumbangan daging antara 1.2 hingga 1.5 kg. Pemilihan asnaf pula diadakan bersama dengan pihak pengurusan masjid berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Projek Khas Prihatin Malaysia ‘Daging Sejuk Beku’ di Masjid Al-Alami MITC di sini, hari ini.

Agihan sumbangan dijalankan dengan kerjasama Kelab Perwira Malaysia itu turut dihadiri Pengarah Program berkenaan, Amiruddin Aziz.

Menurutnya, agihan sumbangan daging itu merupakan aktiviti tahunan Aman Palestin yang menyasarkan peningkatan jumlah penerima pada setiap tahun.

“InsyaAllah kita akan buat setiap tahun dan akan menambahkan lagi bilangan penerima bantuan.

“Kali ini kita bekerjasama dengan Kelab Perwira Malaysia dan kita mengalu-alukan mana-mana individu persendirian atau pihak badan bukan kerajaan (NGO) untuk terlibat sama atau memberi sumbangan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1438
Kongsi :
Previous post Maaf, tiada rokok di Kampung Sungai Jernih
Next post ‘Baru lapor, tangga sekolah sudah dibaik pulih’
Ubah saiz-+=