Maaf, tiada rokok di Kampung Sungai Jernih

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

AYER LIMAU 3 Ogos – Maaf, tiada rokok boleh dibeli di Kampung Sungai Jernih, Lubok Cina di sini sejak 2012 kerana tiada kedai menjualnya.

Ia berikutan program Komuniti Bebas Asap Rokok (KBAR) yang dilaksanakan sejak 12 tahun lalu dan kini ia diperluas melalui program Rumahku Bebas Tanpa Amalan Merokok (MyHOUSE) dan mendapat sambutan hampir seluruh penduduk kampung.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Sungai Jernih, Jaafar Atan, 61, berkata, setakat ini ada 40 daripada keseluruhan 80 pemilik rumah menyertai program MyHOUSE bagi membantu mewujudkan masyarakat bebas asap rokok.

“Alhamdulillah, kempen yang kami laksanakan sejak 2012 mendapat sambutan baik, termasuk dua kedai runcit di kampung ini yang tidak menjual rokok.

“Sebanyak 40 rumah sudah dilekatkan pelekat rumah bebas asap rokok dan MyHOUSE bagi membantu usaha Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaksanakan Rang Undang-undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 dan mewujudkan Generasi Penamat (GEG),” katanya.

Dia berkata, hasil kerjasama ahli jawatankuasa KBAR dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), mereka menampal pelekat larangan merokok di kedai makan sekitar pekan Lubok Cina sebelum ini.

Jaafar (kiri) dan Mohd Yusof Tamby, 70, menampal pelekat pada dinding kediaman Mohd Yusof di Kampung Sungai Jernih, Lubok Cina dekat Masjid Tanah.

Jaafar berkata, majlis keraian dan formal yang diadakan di balai raya atau masjid turut bebas daripada asap rokok dan tetamu yang hadir diminta mematuhi peraturan berkenaan.

“Pada majlis perkahwinan, kami bertanya kepada tuan rumah sama ada ingin memasang gegantung bebas asap rokok dan jika tuan rumah setuju, kami memasangnya.

“Bagaimanapun jika ada tetamu yang tetap ingin merokok, mereka diminta berbuat demikian jauh dari khemah majlis perkahwinan,” katanya.

Dia berkata, KBAR diadakan melalui kerjasama JPKK dengan KKM yang mensyaratkan kampung itu tidak menerima sumbangan, tajaan atau pengaruh industri tembakau dan disebabkan pelaksanaan KBAR, kampung itu menerima anugerah Blue Ribbon KKM 2018.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1860
Kongsi :
Previous post Bantu persiapkan pelajar ke alam universiti
Next post Aman Palestin agih 450 kg daging korban kepada asnaf
Ubah saiz-+=