DUN Telok Mas: ‘Baru lapor, tangga sekolah sudah dibaik pulih’

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

TELOK MAS 3 Ogos – Tangga kegunaan kira-kira 1,000 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Telok Mas yang sebelum ini berlubang dan mengundang bahaya segera dibaik pulih Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB).

Ia selepas aduan mengenai bahaya tangga berkenaan disalurkan orang awam secara terus kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Telok Mas Datuk Abdul Razak Abdul Rahman.

Abdul Razak yang menerima laporan tersebut segera mengajukan permasalahan itu kepada Ahli Majlis MBMB untuk tindakan segera dan masalah itu berjaya diselesaikan dalam tempoh dua hari sahaja.

Menurut Ahli Majlis MBMB Zamani Md Isa, faktor cuaca selain tangga yang sudah usang menyebabkan keadaannya semakin teruk dan membahayakan pelajar.

“Kita ambil tindakan membetulkan tangga kegunaan pelajar ini secepat mungkin selepas menerima aduan.

“Tangga ini digunakan untuk menghantar dan menjemput pelajar oleh ibu bapa bagi mengelakkan kesesakan berlaku ketika waktu puncak di dalam sekolah yang mana tangga ini dapat memberi manfaat kepada 1,000 pelajar.

“Dengan peruntukkan RM 1,700 tangga ini siap dan pelajar dapat menggunakan tangga ini dengan selesa dan selamat,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini.

Sementara itu, Noorhayati Zainal yang membuat aduan mengenai bahaya tangga yang digunakan itu mengucapkan terima kasih di atas tindakan pantas wakil rakyat kawasan.

“Minggu lepas ada melaporkan kepada Adun Telok Mas, sebab tangga untuk kegunaan pelajar-pelajar SMK Telok Mas terlalu uzur, tidak sangka pula tidak sampai seminggu sudah siap baik pulih.

“Tahniah YB semoga terus cemerlang untuk membantu dan membawa suara rakyat,” katanya pada satu hantaran di Facebook.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1609
Kongsi :
Previous post Aman Palestin agih 450 kg daging korban kepada asnaf
Next post Bina longkang di Jalan Tambak Merah elak air hujan bertakung
Ubah saiz-+=