Ambil cuti petanda ‘cuti’ selamanya

Masa Membaca:1 Minit, 46 Saat

KLEBANG 5 Mei. – Sanggup mengambil cuti demi berbuka puasa dengan keluarga biarpun sibuk kerja rupanya menjadi petanda seorang anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM), Sarjan Pertahanan Awam (PA) Mohd Hafiszan Mohamed, 39, pergi menghadap pencipta-Nya.

Bertugas di Pejabat Daerah Pertahanan Awam Melaka Tengah (PDPA), Ayer Keroh, arwah dilaporkan meninggal dunia akibat serangan jantung ketika menangani kes pokok tumbang di Krubung, Sabtu lalu.

Isterinya Hazlin Kamarul Bahrin, 45, berkata, arwah suami ada mengadu jadual kerjanya padat bulan ini disebabkan kekurangan anggota.

Hazlin Kamarul Bahrin.

“Saya katakan tidak mengapalah sudah tugas, tapi dia beria tanya bila anak sulung Muhammad Haziq Qayyum, 19, cuti dan mengambil cuti pada hari sama iaitu Rabu lalu.

“Arwah bawa kami sekeluarga berbuka di kedai makan berdekatan dengan tempat kerja anak di sebuah pasar raya di sini.

“Ketika makan arwah sempat berseloroh apabila kami anak beranak hanya pilih menu nasi goreng saja,” katanya ditemui di rumah ibunya di Taman Sayang Selasih, Klebang Besar, dekat sini.

Menurut Hazlin, pemergian suaminya amat mengejutkan apatah lagi arwah kelihatan sihat dan tidak mengadu apa-apa.

“Arwah juga tak tunjuk apa-apa perubahan atau mengadu sakit dada sebelum pergi kerja seperti biasa.

“Saya sempat bersalam dengannya dan dia mencium pipi saya seperti biasa…Siapa tidak sayang suami, tapi Allah lebih sayangkan dia. Saya reda,” katanya lagi.

Hazlin berkata, dia tersentak apabila dihubungi rakan arwah kira-kira 10.45 malam memaklumkan Mohd Hafiszan mengadu sakit dada ketika menebang pokok tumbang di sebuah rumah penduduk dan dikejarkan ke Hospital Melaka (HM) untuk rawatan.

“Memang saya terkejut diberitahu arwah mengadu dia berasa amat sakit di dada dan bergegas ke HM bersama emak saya untuk melihat keadaannya.

“Doktor beritahu ketika arwah dibawa ke hospital lagi denyutan nadinya sudah tiada dan mereka sudah berusaha melakukan segala termampu untuk menyelamatkannya,” katanya.

Arwah Mohd Hafiszan yang juga bekas anggota Tentera Laut menyertai APM sejak April 2017 dan baru kira-kira dua bulan dinaikkan pangkat Sarjan.

Dia meninggalkan seorang isteri dan anak perempuan berusia 14 tahun serta dua anak angkat berusia 19 tahun dan lima tahun.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

518
Kongsi :
Previous post ‘Mohd Akif Asyraf masih belum sedar, tolong doakan dia’
Next post ‘Arwah tidak pernah tolak tugasan’
Ubah saiz-+=