Amy Search kini bergelar Datuk

Masa Membaca:1 Minit, 29 Saat

SERI NEGERI 24 Ogos – Vokalis legenda kumpulan Search, Suhaimi A. Rahman atau lebih dikenali sebagai Amy Search kini bergelar Datuk.

Ia selepas beliau dianugerahkan Darjah Pangkuan Seri Melaka (D.P.S.M) pada Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka 2022 sempena Sambutan Hari Jadi Ke-73 Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Dr Mohd Ali Mohd Rustam di Balai Istiadat, hari ini.

Pada istiadat tersebut seramai 163 individu dianugerahkan D.P.S.M termasuklah Setiausaha Sulit Kanan Ketua Menteri Melaka, Borhan Othman Ali; Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Melaka, Dr Rusdi bin Abd Rahman; Ketua Pegawai Eksekutif Melaka Waterfront Economic Zone (MWEZ), Mohd Yusof Abu Bakar; Pengerusi Persatuan Bulan Sabit Merah Negeri Melaka, Ramli Mohd Ali dan Panglima 1 Briged Infantri Malaysia, Brigedier Jeneral Mohd Saifulisham Baharun.

Turut menerima D.P.S.M ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Mohd Zamri Mat Zain; Pegawai Daerah Pejabat Daerah dan Tanah Alor Gajah, Saiful Hazwa Kipli dan Duta Malaysia ke Kemboja, Eldeen Husaini Mohd Hashim.

Untuk rekod D.P.S.M dianugerahkan kepada orang perseorangan yang telah memberi perkhidmatan yang terpuji kepada Negeri Melaka dan negara.

Pada tahun ini, Melaka turut menganugerahkan Pingat Jasa Kebaktian (P.J.K) kepada Azwan Omar atau dikenali sebagai Abang Viva di atas jasanya membantu mangsa bencana banjir.

photo1661313419
AZWAN Omar menerima P.J.K daripada Tun Mohd Ali. Foto Iqmal Haqim Rosman

Selain itu, Allahyarham Mohd Diya Che Jusoh, Pegawai Bomba Kanan II yang telah terkorban semasa operasi menyelamatkan mangsa banjir di Kampung Sungai Putat pada 20 Oktober tahun lalu pula dianugerahkan Bintang Gagah Perkasa (B.G.P) yang diterima balunya, Noraida Che Noh.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2506
Kongsi :
Previous post Kerajaan negeri berjaya laksana 58 inisiatif dalam 100 hari – KM
Next post Pembangunan, kemajuan Melaka hasil tangan Tun Mohd Ali – KM
Ubah saiz-+=