Kerajaan negeri berjaya laksana 58 inisiatif dalam 100 hari – KM

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

SERI NEGERI 24 Ogos – Kerajaan negeri berjaya melaksanakan kesemua 58 inisiatif dalam tempoh 100 hari pentadbiran.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, kerajaan negeri juga amat komited dalam melaksanakan keseluruhan 103 inisiatif seperti yang dijanjikan.

“Sukacita saya umumkan bahawa pencapaian 100 hari dengan 58 inisiatif telah dicapai sepenuh 100 peratus.

“Ini diikuti dengan pencapaian setahun sebanyak 26 inisiatif; pencapaian tiga tahun dengan satu inisiatif dan pencapaian lima tahun dengan berjumlah 18 inisiatif,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Ucapan Taat Setia pada Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka 2022 sempena Sambutan Rasmi Hari Jadi Ke-73 Tuan Yang Terutama, Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam, hari ini.

Menurut beliau, kerajaan negeri amat komited untuk mengotakan segala inisiatif yang terkandung di dalam Aku Janji selain manifesto juga telah dirangkum menjadi sebahagian daripada perancangan besar Kerajaan Negeri Melaka yang didokumenkan di dalam Pelan Strategik Melakaku Maju Jaya Versi Kedua.

Sementara itu, Sulaiman berkata, selepas setahun pelaksanaan Pelan Strategik Melakaku Maju Jaya 2035 (PSMJ 2035), ia kini menampakkan keberkesanan dalam merancakkan pertumbuhan ekonomi, menggalakkan pelaburan domestik dan asing, memperkasakan sektor pelancongan, pembangunan infrastruktur, pemulihan warisan serta peningkatan modal insan.

“Contohnya, kerajaan negeri telah berjaya menyiapkan Pelan Induk Melaka Waterfront Economic Zone (M-WEZ) sebagai ‘game changer’ bagi dijadikan rujukan dan panduan kepada semua pelabur yang berminat untuk sama terlibat dalam zon pembangunan terbabit.

“Kerajaan negeri juga sedang berusaha menjadi sebuah Negeri Pintar menjelang 2035 selain melipatgandakan ikhtiar sebagai persediaan menjadi Hab Pelancongan dan Pendidikan yang tersohor di dunia,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1020
Kongsi :
Previous post Melaka Island Geopark potensi baharu tarik pelancong – TYT
Next post Amy Search kini bergelar Datuk
Ubah saiz-+=