Pembangunan, kemajuan Melaka hasil tangan Tun Mohd Ali – KM

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

SERI BENDAHARA 24 Ogos – Pembangunan dan kemajuan dinikmati Melaka ketika ini adalah hasil sebahagian daripada perancangan dan wawasan Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam, kata Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali.

Menurut Sulaiman, dalam tempoh tiga penggal Tun Mohd Ali menjadi Ketua Menteri, pelbagai usaha telah dilakukan dalam menjadikan Melaka sebuah negeri membangun dan menjadi destinasi pelancongan popular pada ketika ini.

Ujar beliau lagi, walaupun kini dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali masih cakna terhadap perkembangan ekonomi negeri dan banyak memberi nasihat kepadanya.

“Saya akan berjumpa Tun pada setiap Rabu dan daripada perjumpaan itu saya banyak menimba pengalaman daripada Tun.

“Tun seorang yang peka, setiap keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) beliau akan teliti satu-satu, malah setiap program yang dianjurkan Ketua Menteri juga beliau akan lihat.

“Sebagaimana yang kita ketahui Tun seorang yang kuat bekerja dan beliau sentiasa berhubung dengan saya mengenai sesuatu perkara yang lebih kepada kebaikan rakyat Melaka,” katanya dalam wawancara khas di kediamannya, di sini.

Sulaiman berkata, selain pembangunan, Tun Mohd Ali juga merupakan seorang yang sangat mementingkan aspek kebersihan negeri.

“Perkara pertama yang akan ditanya Tun setiap kali pertemuan ialah tentang kebersihan. Itu subjek yang tak pernah tertinggal.

“Setiap kali berjoging, Tun akan memerhatikan persekitarannya jika terdapat banyak sampah dan seterusnya akan memaklumkan kepada agensi terlibat. Ini kerana Tun mahu Melaka kembali menjadi negeri juara dalam kebersihan seperti suatu masa dahulu,” katanya.

Sulaiman berkata, sejak dilantik sebagai Ketua Menteri, Tun Mohd Ali juga banyak memberikan sokongan terhadap perancangan dan usahanya untuk memajukan lagi Melaka ke satu tahap lebih tinggi.

Malah, ideanya mewujudkan Melaka Waterfront Economic Zone (M-WEZ) turut disokong penuh Tun Mohd Ali yang mahukan projek itu dilaksanakan segera demi rakyat Melaka.

“Tun juga tidak pernah lupa mengingatkan saya agar menjaga kesihatan kerana baginya bekerja walau sehingga lewat malam sekali pun, kesihatan tetap perlu diutamakan,” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1428
Kongsi :
Previous post Amy Search kini bergelar Datuk
Next post Polis lupus barang kes RM2.83 juta
Ubah saiz-+=