‘Anak-anak sudah mampu tersenyum, anggap ayah terkorban sebagai hero’

Masa Membaca:2 Minit, 22 Saat

KRUBONG 31 Okt – Allahyarham Mohd Diya Che Jusoh, anggota bomba yang terkorban dalam operasi menyelamat kejadian banjir di Sungai Putat pada 20 Oktober lalu, disifatkan seorang yang penuh dedikasi dalam menjalankan tanggungjawabnya sehingga ke akhir hayat.

Menurut isterinya, Noraida Che Nor, 39, biarpun dia dan empat anaknya kehilangan insan tersayang dalam insiden itu namun Muhammad Daniel Hakime Mohd Diya, 18, Nurul Ain Balqis, 16, Muhammad Danish Hakim, 12 dan Nurul Anisa Ilya, 9, tetap berbangga kerana bapa mereka terkorban sebagai wira negara.

“Anak-anak kini sudah mampu tersenyum berbanding sebelum ini mereka kelihatan agak sukar menerima hakikat tetapi lama kelamaan rasa sedih mereka kini bertukar bangga setelah menerima kenyataan bahawa bapa mereka terkorban sebagai hero.

“Namun apa yang pasti, kami menerima kejadian yang berlaku sebagai suratan takdir dan saya redha dengan apa yang berlaku,” katanya.

Noraida ditemui media sempena lawatan kumpulan Safety First yang diketuai bekas Ketua Pengarah Jabatan Bomba Penyelamat Malaysia, Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim dan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Abu Bakar Katain di kediamannya di Taman Krubong Jaya, hari ini.

Alahyarham Mohd Diya meninggal dunia setelah lemas dalam misi menyelamat mangsa banjir di Sungai Putat pada 20 Oktober lalu.

Dalam kejadian pada jam 5.30 petang itu, Allahyarham dipercayai tidak sedarkan diri selepas dibawa arus deras ketika memasang tali bagi mengeluarkan mangsa terperangkap banjir.

Sempena lawatan itu, Kumpulan Safety First turut menyampaikan sumbangan wang tunai berjumlah RM12,450 kepada Noraida yang diperolehi melalui kutipan daripada ahli kumpulan itu seramai 10,000 orang melalui platform Watapps.

Menurut Noraida, hatinya sedikit terusik apabila terkenangkan kenangan bersama arwah suaminya yang akan sibuk menyiapkan persiapan persekolahan anak-anak mereka setiap kali sesi persekolahan bermula.

“Arwah individu yang paling sibuk bertanyakan itu dan ini kepada saya tentang persiapan sekolah anak-anak setiap kali pembukaan sesi persekolahan.

“Namun Alhamdulilah, saya dapat melengkapkan persiapan sekolah anak-anak dengan pertolongan anggota keluarga terdekat dan rakan-rakan,” katanya.

Malah, ujarnya, anak sulungnya, Muhammad Daniel sudah mendaftarkan diri mengikut pembelajaran di Kolej Komuniti Bukit Beruang dalam bidang pengajian yang digemarinya iaitu automotif.

KELIHATAN Nurul Anisa Ilya mesra dengan Abu Bakar yang dipanggilnya abah sambil diperhatikan oleh Noraida, Muhammad Daniel dan Nurul Ain Balqis.

Sementara itu, atas sifat kasih dan rasa tanggungjawab terhadap anak Allahyarham Mohd Diya, Abu Bakar tampil mengambil mereka sebagai anak angkat.

“Saya lihat anak-anak Allahyarham Mohd Diya terutama yang paling bongsu, Nurul Anisa Ilya kelihatan murung dan masih tercari-cari bapanya.

“Saya tidak mungkin dapat gantikan tempat bapa mereka tetapi saya rasa bertanggungjawab ke atas mereka dan perlu menjaga hak kebajikan anak-anak arwah.

“Untuk itu juga, saya selalu berpesan kepada Muhammad Daniel agar tidak lupa dengan amanah yang perlu digalasnya sebagai ketua keluarga menjaga ibu dan tiga adiknya setelah ketiadaan bapa,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

843
Kongsi :
Previous post Jawatankuasa Kerja PAS akan tentukan penggunaan lambang di PRN Melaka
Next post Hanya 3 peratus rakyat Malaysia mampu tampung kehidupan lepas bersara – KWSP
Ubah saiz-+=