Anak sulung jadi ketua keluarga selepas bapa hilang upaya bekerja

Masa Membaca:2 Minit, 3 Saat

TANJUNG BIDARA 15 Feb. – Satu keluarga terpaksa bergantung harapan pada rezeki diperoleh anak sulung selepas ketua keluarga itu hilang keupayaan untuk mencari rezeki akibat penyakit diabetis kronik dan darah tinggi.

Keluarga Rosli Mohd Hassim, 54, terpaksa menaruh harapan pada pendapatan Norhafizah, 23, yang bekerja sebagai jurujual di sebuah pasar raya di pekan Masjid Tanah.

Selepas bapanya terpaksa berhenti kerja sebagai pengawal keselamatan pada Februari 2020, Norhafizah menjadi satu-satunya dahan untuk bapanya dan ibunya, Rohana Hashim, 50, serta dua adiknya, masing-masing berusia 21 dan 18 tahun bergantung harapan.

Norhafizah dibantu adiknya, Mohd Danial, 18, menolak kerusi roda Rosli kediaman mereka di Kampung Londang, Masjid Tanah.

 

 

“Setiap kali mendapat gaji, saya akan pastikan semua barang dapur dibeli, selain sedikit untuk simpanan apabila belaku kecemasan dalam keluarga.

“Saya sendiri sukar untuk mendapatkan pakaian baru kerana bahan makanan keluarga lebih penting tetapi saya tidak pernah kesal dengan apa yang berlaku kerana saya yakin di sebalik ujian Allah yang hebat ini, pasti ada hikmah di sebaliknya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan Ketua Skuad Khas Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Melaka, Nasaruddin Ahmad untuk meneliti keadaan kesihatan Rosli di kediamannya di
Kampung Londang, di sini hari ini.

Sementara itu Rosli berkata, beliau bukan setakat menghidap diabetis kronik, malah darah tinggi yang menyebabkannya tidak mampu melakukan tugas berat untuk menyara keluarga.

Norhafizah dibantu adiknya, Mohd Danial, 18, menolak kerusi roda Rosli kediaman mereka di Kampung Londang, Masjid Tanah.

“Selepas berhenti kerja saya pernah meminta bekas majikan mencuba mendapatkan pencen ilat PERKESO tetapi senyap begitu sahaja.

“Bagaimanapun, saya bersyukur dengan kehadiran Nasaruddin untuk meneliti masalah saya kerana kami tidak mendapat sebarang bantuan daripada Jabatan Kemajuan Masyarakat atau Majlis Agama Islam Melaka (MAIM),” katanya sambil mendakwa pernah mengemukakan permohonan kepada kedua-dua agensi kerajaan itu tahun lalu, tetapi belum mendapat maklum balas setakat ini.

Ujian terhadap Rosli bertambah hebat apabila diserang penyakit bisul pada tengkuk yang menyebabkan dia terpaksa menjalani pembedahan di Hospital Melaka bulan lalu.

Setiap hari beliau terpaksa mendapatkan rawatan susulan mencuci tengkuk di Klinik Kesihatan Masjid Tanah bagi memastikan kesan luka pada tempat yang dibedah itu sembuh sepenuhnya.

Sementara itu Nasaruddin berkata, skuad berkenaan berfungsi mencari pencarum PERKESO yang menghadapi masalah mendapatkan perlindungan selepas ditimpa kemalangan atau kehilangan keupayaan
untuk bekerja.

Katanya, Rosli perlu mengemukakan laporan perubatan daripada Hospital Melaka dan mendapat pengesahan status kesihatan daripada doktor sebelum PERKESO mengambil tindakan lanjut.

Views:

835
Kongsi :
Previous post Buku panduan program imunisasi COVID-19 Kebangsaan dilancar esok
Next post Musim geragau limpahan rezeki nelayan
Ubah saiz-+=