ANCAMAN HARIMAU KUMBANG BIMBANGKAN PENDUDUK

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

ALOR GAJAH 21 Oktober- Kejadian enam ternakan kambing menjadi mangsa serangan dipercayai harimau kumbang, pada Sabtu lalu mencetuskan ketakutan dalam kalangan lebih 1,000 penduduk di dua buah taman berdekatan Kampung Bukit Tampoi, Kelemak, di sini.

Keadaan dikatakan lebih membimbangkan apabila ada di antara penduduk mendakwa ternampak kelibat haiwan liar itu melintas jalan menghala ke kandang ternakan penduduk.

Seorang penduduk, Mohd Shukor Md Jali, 38, berkata, dia amat terkejut ketika terlihat kelibat seolah-olah harimau kumbang melintas di jalan utama dari hutan menuju ke kawasan kandang kambing penduduk kira-kira jam 12.30 tengah malam tadi.

“Kejadian berlaku amat pantas yang mana waktu itu saya sedang memandu dan mujurlah tiada kenderaan lain turut melalui laluan itu, jika ada mungkin haiwan liar itu akan dirempuh.

“Waktu itu saya baru lepas balik memancing sebelum ternampak kelibat hitam seperti harimau kumbang ketinggian paras pinggang lelaki dewasa melintas jalan,” katanya.

Bagi penternak kambing, Ab Razak Ab Rahim, 34, pula berkata, dia terpaksa memindahkan sementara baki lima ekor kambingnya yang terselamat ke kandang rakannya di Kampung Panchor, kerana bimbang kejadian sama akan berulang.

“Akibat kejadian sebelum ini, enam ekor kambing ternakan saya di dalam kandang mati dan terpaksa menanggung kerugian hampir RM5,000.

“Saya bimbang jika terus diletakkan di sini, haiwan itu akan datang menyerang kali kedua malah naluri saya kuat merasakan ia angkara perbuatan harimau.

“Ini kerana kambing jantan saya seberat hampir 30 kilogram boleh diangkat keluar dari kandang yang berkunci dan ditemukan atas tanah kira-kira 100 meter dari kandang,” katanya.

Sementara itu, pengerusi Persatuan Penduduk Taman Mutiara, Ismail Kassim, 67, berkata, kira-kira 300 buah keluarga di taman itu dan Taman Sutera yang terletak bersebelahan kandang ternakan diselubungi dalam ketakutan.

“Sekarang ini kanak-kanak pun tak berani untuk bermain di luar rumah malah penduduk juga takut untuk keluar solat berjemaah di surau,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

423
Kongsi :
Previous post KONTINJEN MUALAF MELAKA CEMERLANG
Next post DEEPAVALI: 75 MURID DAPAT SUMBANGAN BAJU RAYA
Ubah saiz-+=