
‘ANUGERAH INI MENJADI PEMBAKAR SEMANGAT’
SERI NEGERI 25 Ogos – Penganugerahan Darjah Pangkuan Seri Melaka (D.P.S.M) menyuntik semangat Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) Datuk TPr. Saifuddin Abdul Karim, untuk meningkatkan lagi kualiti perkhidmatan kepada rakyat Melaka khususnya penduduk sekitar daerah Alor Gajah.
Katanya, pengiktirafan itu juga dikongsi bersama warga kerja MPAG yang menjadi tulang belakang utama dalam menjadikan MPAG sebagai sebuah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang mesra rakyat selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri Melaka.
“Terima kasih kepada Kerajaan Negeri khususnya Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam atas penganugerahan ini, saya akan berkhidmat dengan lebih baik dan cemerlang untuk Negeri Melaka,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas sesi kedua Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka sempena Sambutan Hari Jadi Ke-76 Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam, di Balai Istiadat, Seri Negeri, di sini, hari ini.
Selain Saifuddin, Timbalan Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Rambai, Datuk Siti Faizah Abd Azis dan Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Melaka, Datuk Adi Supian Shafie, menjadi antara 69 individu menerima anugerah D.P.S.M membawa gelaran Datuk.
Saifuddin dilantik sebagai Yang Dipertua MPAG pada 5 September 2022 berkelulusan Sarjana Muda Perancang Bandar dan Wilayah Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam dan MSc. in Renewable Energy: Technology and Sustainability, University of Reading, United Kingdom.
Sebelum ini beliau bertugas di Bahagian Khidmat Pengurusan Jabatan Ketua Menteri Melaka (JKMM) dari April 2021 hingga 2 September.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.