Anugerah Perdana Belia Negara buka penyertaan buat individu berjasa

Masa Membaca:2 Minit, 8 Saat

AYER KEROH 1 April – Anugerah Perdana Belia Negara peringkat negeri sempena sambutan Hari Belia Negara (HBN) menawarkan tiga kategori untuk individu dan pertubuhan belia yang berkelayakan serta menyumbang bakti di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa NGO, Pembangunan Belia dan Sukan Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen berkata, penyampaian anugerah itu pada Mei depan sekali gus memberi pengiktirafan kepada individu berjasa dalam program kesukarelawan dan kemasyarakatan.

Jelasnya, tiga kategori ditawarkan itu membabitkan Kategori Lelaki, Wanita dan Pertubuhan Belia mampu menjadi pemangkin golongan itu dalam meningkatkan sumbangan khususnya dalam aktiviti membabitkan pembangunan belia di negara ini.

“Johan untuk kategori Pertubuhan Belia akan membawa pulangan wang tunai RM10,000 berserta trofi dan naib johan menerima RM5,000 dengan masing-masing turut diberi sijil, manakala tempat ketiga akan menerima sijil pengiktirafan anugerah itu.

“Bagi kategori lelaki dan wanita pula masing-masing bagi johan akan menerima wang tunai RM3,000 beserta trofi manakala naib johan membawa pulang RM1,500 selain kedua-duanya turut menerima sijil.

“Untuk menyertai anugerah dalam program tahunan utama di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) peserta perlu melengkapkan beberapa kaedah syarat ditetapkan,” katanya kepada Melaka Hari Ini selepas pasca mesyuarat Jawatankuasa NGO, Pembangunan Belia dan Sukan diadakan di Seri Negeri, di sini hari ini.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Melaka, Noorman Ramlan.

Mohd Rafiq berkata, bagi Kategori Pertubuhan Belia beberapa syarat utama pencalonan ditetapkan antaranya penyertaan itu perlu membabitkan persatuan yang bergabung dengan Majlis Gabungan Belia Daerah (MGBD), Majlis Gabungan Belia Melaka (MGBM) dan Majlis Belia Malaysia (MBM).

Selain itu, pertubuhan belia perlu berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan Belia (ROY), dicalon dan disokong MGBD, Pejabat Belia dan Sukan Daerah (PBSD) atau Jabatan Belia dan Sukan Negara.

“Malah pencalonan pertubuhan juga perlu mengemukakan borang pencalonan, resume, portfolio calon, kad pengenalan, dokumen pencapaian yang disahkan serta video berdurasi 10 minit.

“Salinan perlembagaan persatuan yang disahkan ROY, laporan tahunan tiga tahun terakhir bermula 2019 hingga 2020 dan penghantaran Maklumat Yang Kena Diberi (MYKD) juga perlu disertakan,” katanya.

Katanya, pencalonan Kategori Individu Lelaki dan Wanita terbuka kepada semua belia di negeri ini dengan syarat lain iaitu warganegara Malaysia berumur 15 hingga 40 tahun dan perlu dicalonkan oleh MGBD dan disokong MGBM dan PBSD atau JBSN.

“Mereka juga perlu mengemukakan borang pencalonan, resume, portfolio calon, kad pengenalan, dokumen pencapaian yang disahkan serta video berdurasi lima minit.

“Calon yang melengkapkan borang pertandingan seterusnya akan dinilai oleh panel penilai anugerah yang dilantik melalui dokumentasi, penilaian video dan temuduga atas talian serta lawatan tapak jika berkenaan.

“Keputusan akan diputuskan dalam Jawatankuasa Pengesahan Pemenang dan Johan yang menggungguli di peringkat negeri layak untuk bertanding di peringkat kebangsaan,” ujarnya.

Views:

1000
Kongsi :
Previous post Tiga hala tuju baharu PKNM bagi tempoh 50 tahun akan datang
Next post Belia Melaka dipelawa sertai sukarelawan MyVac
Ubah saiz-+=