Tiga hala tuju baharu PKNM bagi tempoh 50 tahun akan datang

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

AYER KEROH 1 April – Tiga hala tuju baharu digubal dan bakal menjadi fokus utama Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM) dalam usaha untuk terus kekal relevan dan berdaya saing dalam memacu pertumbuhan ekonomi negeri untuk 50 tahun akan datang.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, tiga fokus terbaharu itu bersesuaian dengan peredaran ke arah era ‘New Millenium’ selain bertepatan dengan pelancaran Pelan Strategik Melakaku Maju Jaya 2035 (PSMJ 2035) yang dilancarkan awal bulan lalu.

Katanya, fokus pertama PKNM ialah untuk membantu menjayakan koridor ekonomi baharu yang dikenali sebagai Melaka Waterfront Economic Zone (M-WEZ) dengan meneroka dan membuka bidang perniagaan baharu pada masa hadapan.

SULAIMAN menandatangani plak ketika merasmikan pembukaan pejabat My Marine Park Sdn Bhd.

Jelasnya, ia termasuklah mengambil tanggungjawab sebagai pengendali aktiviti maritim dalam jajaran tiga batu nautika dari persisiran pantai negeri Melaka.

“Selain itu, seiring era digital yang semakin bertapak pada masa ini, PKNM juga perlu menumpukan pembukaan kawasan baharu bagi industri berteraskan digital.

“Dan yang terakhir, PKNM juga perlu memastikan pemilikan ekuiti syarikat-syarikat yang terlibat dalam semua projek pembangunan di tanah yang dimiliki oleh PKNM,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Jubli Emas 50 Tahun PKNM di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MiTC), di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Sulaiman berkata memandangkan pandemik COVID-19 menjejaskan pelbagai sektor sehingga membawa kepada penguncupan pertumbuhan ekonomi negeri, pelbagai usaha perlu dilakukan PKNM termasuklah mengguna pakai amalan terbaik dalam tadbir urus perniagaan bagi meningkatkan kembali ekonomi negeri.

Katanya lagi, kerajaan negeri juga akan sentiasa memberi sokongan dan dokongan kepada PKNM untuk sentiasa berusaha meneroka peluang-peluang perniagaan baharu secara kreatif.

“Apa yang lebih penting, dengan penerokaan projek-projek ini, PKNM dapat membantu Kerajaan Negeri memacu ekonomi Melaka agar lebih berdaya maju dan mapan selari dengan visi Negeri Melaka ‘Menuju Negeri Lestari’,” ujarnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1138
Kongsi :
Previous post Melaka sasar nilai pelaburan RM5 bilion tahun ini
Next post Anugerah Perdana Belia Negara buka penyertaan buat individu berjasa
Ubah saiz-+=