Anugerah terindah Datuk Amy Search

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

SERI NEGERI 24 Ogos – Datuk Suhaimi Abdul Rahman atau lebih dikenali sebagai Amy Search menyifatkan pengiktirafan yang diterima daripada Kerajaan Negeri Melaka sempena Sambutan Hari Jadi Ke-73 Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam yang ke-73 sebagai anugerah terindah dalam hidupnya.

Vokalis legenda berusia 64 tahun itu berkata, dikurnia pingat Darjah Pangkuan Seri Melaka (D.P.S.M) yang membawa gelaran Datuk itu tidak pernah diimpikannya sejak 42 tahun bergelar anak seni.

Justeru, beliau menzahirkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Melaka dan Tun Mohd Ali yang mengiktiraf perjalanan seninya selama ini.

“Syukur dan terima kasih yang tidak terhingga kepada kerajaan negeri Melaka, Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Rustam, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan semua pihak yang terlibat.

“Pemberian pingat yang membawa gelaran Datuk kepada saya ini tidak pernah diimpikan namun ini satu anugerah terindah dalam kerjaya dan hidup saya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini (MHI) selepas ditemui pada Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka 2022 sempena Sambutan Hari Jadi Ke-73 Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam yang ke-73 hari ini di Balai Istiadat Seri Negeri, hari ini.

Dalam pada itu, Amy berkata, penganugerahan itu juga membuka kerjasama di antara beliau dan Kerajaan Negeri Melaka ke arah masa depan industri seni negara selepas ini.

Menurutnya, Melaka merupakan sebuah negeri dekat di hatinya dek kerana seni bina dan budaya unik negeri ini, selain isterinya juga merupakan anak kelahiran Melaka.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1756
Kongsi :
Previous post Polis lupus barang kes RM2.83 juta
Next post Anak mahu ikut jejak arwah bapa jadi anggota bomba
Ubah saiz-+=