Aplikasi ‘Reading Progress’ bantu murid tingkat penguasaan Bahasa Inggeris

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

SHAH ALAM, 18 Okt – Sebanyak 576 sekolah termasuk di pedalaman di seluruh negara akan terlibat dalam program rintis aplikasi ‘Reading Progress’ bagi membantu meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris (BI) dalam kalangan murid.

Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata program rintis yang bermula hari ini itu melibatkan seramai 1,088 guru.

“Aplikasi ini akan digunakan dalam sistem pengajaran dan pembelajaran khususnya untuk membantu murid-murid menguasai sebutan perkataan dalam BI dengan baik.

“Melalui pendekatan itu, murid-murid boleh merekodkan audio dan video atau kedua-duanya sekali apabila membaca dalam BI, selain sistem ini akan membantu mereka melihat apakah perkataan, cara sebutan dan sebagainya.

“Ini akan dapat membantu murid mengenal perkataan baharu dan penyusunan struktur ayat yang lebih baik,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Inisiatif Reading Progress di sini hari ini.

Katanya, inisiatif itu merupakan sebahagian konsep dan usaha pendigitalan pendidikan serta memberi ruang kepada murid untuk belajar dalam suasana menyeronokkan.

Beliau berkata aplikasi itu juga akan memudahkan tugas guru dalam membuat penilaian tahap kemampuan murid.

Radzi berkata pihaknya menjangkakan penggunaan aplikasi itu diperluas ke semua sekolah menjelang awal tahun hadapan, selain aplikasi dalam Bahasa Melayu bakal menyusul.

“Kementerian juga akan memperluaskan dalam Bahasa Melayu sekiranya aplikasi telah tersedia dalam Microsoft yang dijangka pada tahun depan.

“Semua ini merupakan pendekatan bagi memudahkan pembelajaran dan memastikan lebih cekap serta berkesan,” katanya.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1441
Kongsi :
Previous post Kerjasama dengan Kerajaan Johor, selesai masalah banjir
Next post Jualan Pesta Deepavali Little India bawa sinar baharu peniaga
Ubah saiz-+=