Kerjasama dengan Kerajaan Johor, selesai masalah banjir

Masa Membaca:1 Minit, 53 Saat

BATU BERENDAM 18 Oktober – Kerajaan negeri sudah mengenal pasti beberapa faktor yang dikatakan menjadi punca kerap berlaku ‘banjir termenung’ di Kampung Lanchang, Sungai Rambai, Jasin.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur, dan Pengurusan Banjir negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata hasil lawatan turun padang dan tindakan lanjut pihaknya mendapati terdapat pintu air yang mengawal laluan air ke laut dikawal oleh negeri Johor.

“Kita sudah tengok sebab apa di situ berlaku banjir, ia kerana pintu air paling bawah dikawal oleh negeri Johor, oleh itu kita ada sedikit masalah tetapi kita saling berhubung dan mereka beri bantuan serta kerjasama.

“Tetapi daripada lima pintu air itu, dua daripadanya rosak dan keadaan itu melambatkan aliran air dari Sungai Chohong dan Sungai Kesang ke laut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melakukan lawatan kerja di kolam takungan air di Lapangan Terbang Antarabangsa Batu Berendam, Melaka yang turut dihadiri Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) Datuk Shadan Othman dan Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Melaka Abd Hakim Hamzah.

Menurutnya, faktor kerosakan pintu air itu juga mengakibatkan beberapa kampung seperti Sungai Kesang, Seri Mendapat, Kampung Lanchang serta Kampung Parit Buluh Benteng turut terkesan dan berlaku banjir.

“Bagaimanapun masalah sama di Kampung Tersusun dan Kampung Janda Berhias sudah diambil tindakan dan isu banjir dapat diselesaikan,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai lawatan kerja, beliau berkata dua kolam takungan air di kawasan lapangan terbang yang berkeluasan antara 3.2 hingga empat hektar dikenal pasti boleh digunakan sebagai lokasi takungan air sementara ketika musim hujan lebat dan banjir.

“Kita terima cadangan dan pandangan oleh penduduk namun perlu dikaji balik bagi melihat kedudukan serta aras yang kita berpendapat ia agak tinggi sedikit daripada aras sedia ada jadi apabila berlaku limpahan di kawasan Taman Merdeka baru ia masuk ke kawasan ini.

“Tindakan awal ini, kita akan kaji melalui JPS selepas itu melihat kedalaman sebelum melakukan pembersihan di sebahagian kawasan.

“Kita tidak boleh bersih semua sekali, kita bersihkan parit yang masuk ke kolam dahulu ia sebagai alternatif untuk mengelak berlakunya banjir di kawasan Taman Merdeka,” katanya.

Mengulas lanjut, Rahmad berkata, selain pembabitan agensi kerajaan dan pihak berkuasa tempatan (PBT) pembabitan penduduk setempat dalam mencari jalan penyelesaian perlu kerana mereka lebih mengetahui tentang sesuatu isu di kawasan tempat tinggal mereka.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1401
Kongsi :
Previous post BN putuskan selepas PRU15 jika perlu gabung parti lain untuk bentuk kerajaan – Ismail Sabri
Next post Aplikasi ‘Reading Progress’ bantu murid tingkat penguasaan Bahasa Inggeris
Ubah saiz-+=