BN putuskan selepas PRU15 jika perlu gabung parti lain untuk bentuk kerajaan – Ismail Sabri

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

KUALA LUMPUR, 18 Okt – Keputusan sama ada Barisan Nasional (BN) akan bergabung dengan parti lain sekiranya tidak memperoleh majoriti mudah di Parlimen bagi membentuk kerajaan baharu hanya akan diputuskan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata keputusan PRU15 harus dilihat terlebih dahulu sebelum membuat sebarang perancangan awal berhubung pembentukan kerajaan Persekutuan.

“Kita tunggu dulu keputusan (PRU15), kita buat keputusan selepas itu… Kita buat andaian terlalu awal pun susah juga, kita pun tidak tahu apa akan berlaku dalam pilihan raya nanti.

“Lepas pilihan raya nanti, keputusan dah buat. Insya-Allah kita buat apa sahaja keputusan demi kepentingan negara dan yang pentingnya kita hendak sebuah kerajaan yang stabil,” kata beliau kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia ke-43 di sini hari ini.

Ismail Sabri berkata demikian ketika ditanya mengenai kemungkinan BN perlu bekerjasama dengan parti lain seperti PAS untuk membentuk kerajaan jika tidak mampu memperoleh kerusi yang mencukupi bagi membentuk kerajaan pada PRU15 ini.

Pada 16 Okt, Timbalan Pengerusi BN Datuk Seri Mohamad Hasan berkata BN perlu menang ‘melepasi 112 kerusi Parlimen’ supaya dapat menubuhkan kerajaan pada PRU15 ini.

Menyentuh mengenai pembahagian kerusi Parlimen, Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO berkata BN sedang dalam proses pengagihan kerusi antara parti komponen dan parti ‘friends of BN’ dan selepas itu menilai dari segi calonnya pula.

“Kita pertimbang semua sekali dan kita akan mengadakan mesyuarat dan keputusan akan dibuat secara musyawarah, itu biasa. Dulu lagi susah sebab komponen BN banyak, sekarang komponen hanya ada empat (UMNO, MIC, MCA, Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS). Jadi lebih mudah untuk kita bincang dan dalam waktu terdekat pasti kita akan putuskan,” katanya.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1599
Kongsi :
Previous post Teruja dapat pilih sendiri ‘baju raya’ baharu sambut Deepavali
Next post Kerjasama dengan Kerajaan Johor, selesai masalah banjir
Ubah saiz-+=