Jualan Pesta Deepavali Little India bawa sinar baharu peniaga

Masa Membaca:2 Minit, 35 Saat

BANDARAYA MELAKA 18 Oktober – Pesta Deepavali Little India di Jalan Bendahara saban hari semakin menerima sambutan orang ramai terutama penganut agama hindu mencari pelbagai jenis barangan dan makanan sempena perayaan pesta cahaya itu.

Tinjauan Melaka Hari Ini (MHI) mendapati, deretan gerai terletak di bahu jalan dipenuhi pengunjung yang hadir dilengkapi dengan pelbagai jenis jualan antaranya makanan tradisional, pakaian, barang kemas, peralatan sembahyang serta pelbagai lagi dijual dengan harga berpatutan.

Rata-rata peniaga meluahkan rasa syukur dalam rezeki yang bakal tiba berikutan sambutan yang diterima bukan sahaja dari sokongan anak jati negeri ini malah ia terus menerima kunjungan dari pelbagai negeri yang sanggup ke Little India demi membeli barangan persiapan perayaan itu.

WhatsApp Image 2022-10-18 at 7.37.19 PM
Gerai makanan K. Gursharan yang menjual makanan tradisional masyarakat India menerima sambutan menggalakkan sejak beroperasi pada 10 Oktober lalu.

Seorang peniaga, K. Gursharan,39 berpuas hati dengan peluang perniagaan yang diberikan kepadanya berikutan tidak putus-putus menerima kedatangan pelanggan pada gerainya yang menjual makanan tradisional itu.

Katanya, pendapatannya menerima impak yang memberangsangkan malah menerima kunjungan dari pelbagai negeri antaranya dari Johor, Kuala Lumpur,Negeri Sembilan serta pelbagai lagi untuk membeli produk yang dijual di gerainya.

“Biarpun tahun ini saya tidak menyambut Deepavali kerana berkabung di atas kehilangan ibu tercinta namun saya tetap meneruskan kehidupan ini demi kelangsungan hidup.

“Tidak mengapalah, kita tetap teruskan kehidupan, tahun ini kami fokus kepada perniagaan untuk terus kekal sukses

“Semoga perayaan yang disambut masyarakat kaumIndia tahun ini mampu memperkenan apa hajat yang mereka inginkan dan membawa satu keberkatan dalam kehidupan mereka,” katanya.

Bagaimanapun, seorang penjual pakaian, S. Puwaiyi berkata, biarpun setakat ini pakaian yang dijualnya kurang menerima sambutan sejak beroperasi pada 10 Oktober lalu namun dia tetap berikhtiar dengan menjangkakan sambutan itu akan melonjak menjelang dua hari sebelum Deepavali.

“Jualan kali ini tidak tinggi sangat sebab kita dah jangka orang ramai yang datang setakat ini hanya meninjau dahulu kedai-kedai pakaian di kawasan ini dan kami jangka beberapa hari nak raya nanti baru mereka betul-betul akan serbu ke kedai pakaian.

“Perkara ini sama berlaku seperti tahun lalu biarpun zaman sebelum COVID-19 melanda kami menerima sambutan yang positif namun saya terus kekal berada di sini untuk memastikan perniagaan ini tetap berjalan.

“Rata-rata pakaian yang dijual ini diimport dari Gujerat, New Delhi serta beberapa negeri di India dan mungkin kerana kedai baju yang semakin bertambah membuatkan saingan di sini semakin meningkat,” katanya.

Terdahulu, ExcoPembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri , V P Shanmugam ketika ditemui berkata, Pesta Deepavali yang dianjurkan kali ini merupakan peluang terbaik buat kaum India untuk menjana pendapatan sempena Deepavali.

Jelasnya sebanyak 64 petak gerai disediakan beroperasi dari 8 pagi hingga 11 malam bermula 10 hingga 24 Oktober depan menawarkan pelbagai jualan dan aktiviti lain buat pengunjung yang datang.

“Kita juga menawarkan cabutan bertuah kepada pengunjung yang datang malah terdapat pelbagai aktiviti seperti persembahan kebudayaan dianjurkan di pentas utama terdapat di Padang Nyiru berdekatan.

“Penganjuran ini secara tidak langsung membuka ruang dan membantu peniaga kecil masyarakat India menjana semula pendapatan selepas terjejas akibat pandemik COVID-19,” katanya

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1940
Kongsi :
Previous post Aplikasi ‘Reading Progress’ bantu murid tingkat penguasaan Bahasa Inggeris
Next post Ayam masih dijual bawah harga kawalan maksimum – KPDNHEP
Ubah saiz-+=