APM Melaka sambung semula latihan luar

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

AYER KEROH 24 Mac – Setelah terhenti latihan operasi luar sepanjang penularan pandemik COVID-19, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka kini bersedia mempergiatkan kursus serta latihan kemahiran di bawah agensi itu.

Pengarah APM Melaka, Lt Kol (PA) Cuthbert John Martin Quadra berkata, beberapa kursus latihan agensi itu terpaksa ditangguhkan ekoran penularan wabak tersebut dalam kalangan anggota.

Menurutnya, sepanjang pandemik, aktiviti luar terpaksa dihadkan dan walaupun tiada latihan dijalankan namun anggota tetap melakukan rutin tugas biasa mengikut prosedur operasi standard (SOP).

“Biarpun kita bakal memasuki fasa endemik nanti, latihan dan kursus operasi yang berlangsung nanti tetap dalam keadaan penjarakan sosial dan pematuhan SOP.

“Ini penting dalam melaksanakan sebarang latihan atau yang berkaitan dengannya, kita mahu mengurangkan risiko jangkitan. Jika perlu kita buat ujian saringan air liur dalam setiap latihan yang dibuat, kita akan buat, paling penting kita dapat minimumkan risiko jangkitan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis sambutan Ulang Tahun Pertahanan Awam (HUTPA) ke-70 di Kompleks Kementerian Dalam Negeri di sini hari ini.

Mengulas lanjut menurut Cuthbert, kursus dan latihan operasi akan dibuat secara komprenhensif dan tertumpu kepada model pengurusan bencana.

“Ia lebih kepada latihan awal, pertengahan dan latihan lanjutan bagi mengekalkan skil kemahiran dan ilmu agar khidmat APM sentiasa relevan dengan keperluan sekarang,” ujar beliau.

Mengulas mengenai keperluan penambahan aset APM di negeri ini, kata Cuthbert, pihaknya akan mengerakkan sepenuhnya aset sedia ada bagi memenuhi keperluan semasa.

Ujarnya, keadaan aset akan dipastikan diselenggara mengikut jadual yang teratur bagi memastikan keadaannya ditambah baik serta sesuai digunakan pada bila-bila masa.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

924
Kongsi :
Previous post Cabaran belajar, mengajar era pandemik tidak halang pasangan guru genggam ijazah
Next post Sasar 500,000 benih ikan dan udang galah dilepaskan ke sungai terpilih di Melaka
Ubah saiz-+=