APM selamatkan dua ekor kambing ‘terjun’ perigi

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

AYER KEROH: Angkatan Pertahanan Awam (APM) Alor Gajah menyelamatkan dua ekor kambing betina yang ‘terendam’ lebih sejam akibat terjatuh di dalam perigi di Kampung Lesung Baru, dekat sini, malam semalam.

Terdahulu, kehilangan haiwan itu disedari pemiliknya kira-kira jam 6.40 petang ketika menghalau kambingnya memasuki kandang.

Penternak, V.Goval, 63, berkata, ketika mencari di kawasan sekitar kandang, dia dan adiknya terdengar suara kambing mengembek kuat dari dalam perigi di hadapan rumah.

Keadaan dua ekor kambing yang terperangkap di dalam perigi. Foto-ihsan APM Alor Gajah

Katanya, perigi itu sudah tidak digunakan dan ditutup dengan zink bagi mengelak bahaya.

“Mungkin zink itu sudah berkarat dan reput menyebabkan kambing yang memanjatnya terjatuh ke dalam perigi.

“Mujur air tidak dalam sebab sudah beberapa hari tidak hujan, jika tidak mungkin kambing mati lemas.

“Terima kasih kepada APM Alor Gajah yang membantu mengeluarkan dua ekor kambing kami,” katanya dihubungi hari ini.

Sementara itu, Pegawai Operasi, Bencana dan Logistik Pejabat Daerah Pertahanan Awam (PDPA), Alor Gajah, Leftenan (PA) Abdul Hadi Baharom, berkata, pihaknya menerima panggilan 7.56 malam, sebelum sepasukan tujuh anggota dikejarkan ke lokasi berkenaan.

Beliau berkata, operasi diketuai Leftenan Muda (PA) Mohd Hanif Zulkifli mengambil masa kira-kira 40 minit untuk menyelamatkan kambing itu dengan menggunakan tali.

Anggota APM menggunakan tangga untuk menyelamatkan kambing di dalam perigi sedalam enam meter. Foto-ihsan APM Alor Gajah

Katanya, dua anggota APM terpaksa turun menggunakan tangga ke dalam perigi sedalam enam meter bagi mengikat badan kambing sebelum ia dapat ditarik keluar dengan selamat.

“Dua ekor kambing itu yang kesejukan selamat dan tidak cedera sebelum diserah semula kepada tuannya,” katanya.

-tamat-

Views:

1972
Kongsi :
Previous post Kluster Masjid Tanah catat 69 kes positif
Next post Luka baharu tiga sentimeter di kepala Amir – Polis
Ubah saiz-+=