Luka baharu tiga sentimeter di kepala Amir – Polis

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

BUKIT BARU 31 Jan – Terdapat kesan luka baharu sepanjang tiga sentimeter di bahagian kepala kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun yang ditemukan maut dipercayai didera ibu dan bapa tirinya Jumaat lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Melaka, Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman berkata, itu antara penemuan hasil bedah siasat ke atas mangsa yang berlangsung kira-kira 11 jam di Hospital Melaka hari ini.

Beliau bagaimanapun berkata, kecederaan itu belum dapat ditentukan sebagai punca kematian berikutan pakar forensik memerlukan keputusan laporan kimia bagi mengesahkannya.

“Selain luka sepanjang tiga sentimeter berkenaan, bedah siasat turut menemukan kecederaan baharu dan lama di beberapa bahagian badan terutama di belakang tubuh mangsa.

“Kita tidak menolak kecederaan itu akibat (hentakan) objek tumpul namun kita akan menyiasat sama ada kecederaan itu disebabkan tindakan mangsa sendiri jatuh atau disebabkan kelakuan mana-mana individu,” katanya kepada pemberita selepas proses bedah siasat di Jabatan Forensik, Hospital Melaka malam tadi.

Mengulas lanjut beliau berkata, pakar forensik turut akan mengambil spesimen organ dalaman mangsa termasuk hati, paru-paru dan jantung sebelum dihantar ke Jabatan Kimia bagi mendapatkan laporan makmal.

“Apa punca sebenar (kematian) itu kita kena tunggu laporan makmal siap sepenuhnya,” katanya.

Terdahulu, proses bedah siasat mayat kanak-kanak malang itu bermula jam 11 pagi tadi dan berakhir kira-kira 10 malam tadi.

Mohd Sukri berkata, proses tuntutan jenazah dijangka dibuat pagi esok yang akan diserahkan kepada waris sah kanak-kanak berkenaan.

Bagaimanapun sehingga kini, belum ada keputusan sama ada jenazah kanak-kanak itu akan dikebumikan di kampung keluarga ibu kandungnya di Jasin ataupun dibawa pulang ke tempat dia dibesarkan di kediaman keluarga angkatnya di Rawang, Selangor.

Dalam kejadian pada jam 4 petang Jumaat lalu, Zubaidi Amir Qusyairi Abd Malek ditemukan mati dalam tong berketinggian 60.9 sentimeter dalam rumah berkenaan.

Susulan itu, ibu kandung dan bapa tiri mangsa masing-masing berusia 32 dan 38 tahun ditahan sebelum direman tujuh hari sehingga 5 Februari ini untuk siasatan lanjut.

Views:

440
Kongsi :
Previous post APM selamatkan dua ekor kambing ‘terjun’ perigi
Next post Amir meninggal dunia kurang dua jam sebelum laporan – Polis
Ubah saiz-+=