Amir meninggal dunia kurang dua jam sebelum laporan – Polis

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

BUKIT BARU 1 Feb. – Kanak-kanak lelaki tujuh tahun yang didakwa maut dalam tong air dipercayai lemas meninggal dunia kurang dua jam sebelum laporan dibuat.

Perkara itu sekaligus menepis dakwaan mengatakan mangsa maut beberapa hari sebelum mayatnya ditemui.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Melaka, Asisten Komisiomer Mohd Sukri Kaman berkata, tempoh masa kematian kanak-kanak berkenaan disahkan menerusi proses bedah siasat yang selesai dijalankan selama 11 jam sejak pagi semalam.

Bagaimanapun katanya, ketika polis tiba di lokasi kejadian selepas menerima laporan daripada bapa tiri mangsa yang mendakwa anak tirinya lemas, mayat kanak-kanak itu sudah dikeluarkan daripada tong berkenaan.

“Jadi apa yang dikatakan netizen bahawa mayat mangsa sudah meninggal dunia dua tiga hari sebelum ditemui atau mayat sudah kembung adalah tidak benar.

“Sebaliknya, mangsa baharu sahaja meninggal dunia dua atau tiga jam sebelum dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Melaka, Jumaat lalu.

“Ketika polis sampai, mayat mangsa sudah berada di luar tong dalam bilik air tingkat bawah rumah berkenaan,” katanya ketika ditemui di luar perkarangan Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Melaka malam tadi.

Bagaimanapun, jelasnya pihaknya masih menyiasat sama ada dakwaan bapa tiri mangsa yang mengatakan mangsa akibat lemas.

Dalam pada itu, Mohd Sukri berkata, pihaknya tidak boleh mendedahkan perincian awal hasil soal siasat terhadap kedua-dua suspek kerana dibimbangi perkara itu akan mengganggu laporan kertas siasatan untuk dirujuk ke mahkamah.

“Tiga beradik lagi kita akan rakam percakapan untuk bantu siasatan dan kes masih disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Melaka Hari Ini sebelum ini melaporkan pasangan suami isteri berusia 38 dan 32 tahun yang juga ibu dan bapa tiri kepada Zubaidi Amir Qusyairi Abd Malek, 7 dipercayai mendera kanak-kanak itu direman tujuh hari sehingga 5 Februari bagi membantu siasatan.

Views:

668
Kongsi :
Previous post Luka baharu tiga sentimeter di kepala Amir – Polis
Next post Jenazah Zubaidi Amir kebumi hari ini di Simpang Bekoh, Jasin
Ubah saiz-+=