Jenazah Zubaidi Amir kebumi hari ini di Simpang Bekoh, Jasin

Masa Membaca:1 Minit, 29 Saat

RIM 1 Feb – Jenazah kanak-kanak tujuh tahun yang dipercayai maut didera akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Padang Lebar, Simpang Bekoh di sini, hari ini.

Perkara itu disahkan oleh ahli keluarga kandung Zubaidi Amir Qusyairi Abd Malek, 7, yang menuntut jenazah kanak-kanak itu di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Melaka pagi ini.

Lelaki terbabit yang enggan dikenali memaklumkan, jenazah anak saudaranya akan dibawa pulang ke kampung neneknya di Taman Kasturi, Simpang Bekoh di sini.

Bagaimanapun, dia enggan mengulas lanjut berikutan tidak mahu memberi sebarang kenyataan kepada pemberita.

“Keluarga kami akan membawa pulang (jenazah) tapi tidak pasti jam berapa,” katanya ketika ditemui di kediaman nenek Zubaidi Amir di sini.

Pengerusi Masjid Al Hidayah, Chabau, Rosli Ibrahim, (kiri) menunjukkan kubur yang siap digali di Tanah Perkuburan Islam Padang Lebar, Simpang Bekoh. Foto: MR. Azli

Sementara itu, Pengerusi Masjid Al – Hidayah, Rosli Ibrahim, 65, berkata keluarga kandung Zubaidi Amir Qusyairi memaklumkan kepada jawatankuasa Majis Al – Hidayah, Cabau bagi urusan membawa pulang jenazah kanak-kanak itu dari Jabatan Perubatan Forensik ke Surau As – Syakirin.

Katanya, jenazah Zubaidi Amir dijangka disembahyangkan di surau berkenaan sebelum dikebumikan di tanah perkuburan terbabit.

“Semalam, keluarga kandung Allahyarham meminta kita menggali kubur di tanah perkuburan itu dan sudah disiapkan pagi semalam,” katanya ketika ditemui di tanah perkuburan berkenaan.

Sementara itu, tinjauan Melaka Hari Ini di kediaman keluarganya di Taman Kasturi, di sini bagaimanapun mendapati rumah mereka tertutup rapat dan sunyi tanpa kehadiran orang ramai atau saudara mara, namun kedengaran alunan ayat suci Al-Quran dari dalam rumah.

Terdahulu, proses bedah siasat mayat mangsa selesai dijalankan selama 11 jam sejak 11 pagi semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka, Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman dilaporkan berkata, mayat kanak-kanak itu diserahkan kepada waris yang sah untuk urusan pengebumian.

Views:

1203
Kongsi :
Previous post Amir meninggal dunia kurang dua jam sebelum laporan – Polis
Next post Raut wajah ‘Adik’ tenang macam tidur
Ubah saiz-+=