Arboris pakar kesan pokok ‘sakit’

Masa Membaca:2 Minit, 4 Saat

AYER KEROH 16 Ogos – Kejadian pokok tumbang mungkin tidak dapat dielakkan, namun tanda-tanda kecacatan serta kecederaan pokok berkenaan boleh dikesan seorang arboris (arborist) terlatih.

Naib Presiden Persatuan Arborist Malaysia (PArM), Mohd Zailani Jamil berkata, arboris memainkan peranan penting sebagai ‘doktor pokok’ yang dapat membantu mengelakkan kegagalan struktur dan mengurangkan risiko pokok untuk ditebang jika masalah itu dikesan lebih awal.

Menurutnya, di Malaysia terdapat lebih 125 arboris bertauliah yang dilantik sejak tahun 2005 yang mahir mengenai tahap kesihatan pokok.

“Pentingnya ada latihan berasaskan kemahiran yang diiktiraf di peringkat antarabangsa melalui mekanisme piawaian antarabangsa untuk kita ketahui manfaat pokok serta bahaya yang wujud disebabkan ia tidak dijaga dengan baik.

“Malaysia berkembang pesat dan peningkatan penduduk bandar dan mereka terdedah kepada risiko pokok tumbang di sekitar kawasan bandar terutamanya bila berlaku hujan lebat dan angin kencang.

“Kebanyakan pokok tumbang disebabkan akar mereput, namun ia boleh dielakkan jika penjagaan rapi dijalankan dengan mengelakkan kecederaan pada akar semasa melakukan kerja-kerja berhampiran pokok seperti pengorekan tanah,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Menurut beliau, kegagalan orang ramai termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT), kontraktor penyelenggaraan pokok dan landskap mengesan kecacatan dan kesihatan pokok menyebabkan terdedahnya risiko kemalangan seperti pokok tumbang dan dahan patah.

“Pengurusan risiko pokok ameniti adalah satu tanggungjawab PBT dan agensi berkaitan dalam menyediakan persekitaran yang selamat. Ia perlu dijadikan sebahagian budaya organisasi dengan dasar yang jelas, mekanisme efektif dan komitmen pihak pengurusan tertinggi.

“Pengurusan risiko ini membabitkan pengurusan sistematik dan didokumenkan akan membantu PBT serta agensi pelaksana dalam mengemukakan hujah dan bukti dalam kes tuntutan perundangan.

“Pengurusan risiko ini dapat meningkatkan kesedaran umum terhadap keselamatan dan tindakan perundangan yang berpunca dari kemalangan yang boleh dielakkan,” katanya.

MOHD Zailani

Bercakap soal penjagaan pokok, Mohd Zailani berkata, setiap pokok memerlukan ruang mencukupi supaya akarnya dapat menjalar dengan baik.

Menurutnya, jika ruang penanaman pokok itu tidak sesuai, ia boleh menyebabkan pokok mengalami tekanan dan diserang penyakit, selain berisiko untuk tumbang.

“Jadi pentingnya menyediakan zon akar yang sesuai dan mencukupi, jika kawasan pokok diganggu dengan jalan raya, laluan pejalan kaki atau papan tanda yang terlibat dalam kerja sivil, ia akan mencederakan pokok tersebut.

“Gangguan pada zon akar kritikal menyumbang kepada kecederaan dan kerosakan akar yang memberi kesan kepada kehilangan kekuatan sauh dan kestabilan pokok, akhirnya kegagalan berlaku dan pokok akan tumbang.

“Kesihatan pokok perlu dijaga termasuk sentiasa memeriksa pokok bagi menentukan tahap kesihatan dan kesuburan dalam keadaan baik dan selamat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2394
Kongsi :
Previous post Polis nafi ratusan RXZ hilang
Next post KKM sasar 10 juta rakyat kekal sihat 10 tahun akan datang
Ubah saiz-+=