ARCA ‘WTD 2025’ HIASI LOKASI IKONIK MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 10 Saat

BANDA HILIR 20 Oktober – Arca World Tourism Day 2025 (WTD 2025) akan diletakkan di beberapa lokasi pelancongan utama di Negeri Melaka.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman berkata ia bertujuan sebagai pemakluman bahawa Melaka akan mewakili Malaysia sebagai tuan rumah WTD atau Hari Pelancongan Dunia, tahun depan.

Katanya, salah satu arca tersebut telah diletakkan di hadapan Bangunan Stadthuys, Banda Hilir bagi tujuan hebahan kepada orang ramai selain dijadikan tempat untuk bergambar kenangan.

“Selepas di Banda Hilir, MBMB akan memasang arca sama di Jonker Walk, Air Terjun Bukit Sebukor serta beberapa lokasi ikonik lain.

“Kita mahu masyarakat tahu bahawa Melaka akan menjadi hos untuk satu program penting dunia pada tahun hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Melaka Citra Floria Hair Show 2024 di perkarangan Bangunan Stadthuys, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Pengerusi Zon Melaka dan Negeri Sembilan POLYCC Hassan Mohd Sharif dan Pengarah Kolej Komuniti Kota Melaka Noorazizah Abu serta kenamaan lain.

Dalam perkembangan lain, Shadan memaklumkan MBMB akan terus bergerak dan memainkan peranan dalam bersama memacu sektor pelancongan negeri, selari dengan aspirasi Kerajaan Negeri.

“MBMB akan memastikan pelancong yang hadir ke Melaka tidak bosan dan kita akan mewujudkan produk pelancongan baharu dari semasa ke semasa.

“Selain itu, MBMB akan menambah baik lagi lokasi ikonik di negeri ini dari segi pencahayaan, kebersihan dan kemeriahan,” ujarnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

225
Kongsi :
Previous post SYUKUR, DAPAT LESEN DI USIA 55 TAHUN
Next post 5 MOTOSIKAL BERGESEL ELAK LOPAK AIR, SEORANG MAUT
Ubah saiz-+=