Sorting by

×

ASAHAN CETUS FENOMENA BAHARU TARIAN SINGA, NAGA

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

ASAHAN 20 Julai – Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan menzahirkan penghargaan terhadap warisan seni budaya masyarakat berbilang kaum menerusi penganjuran Pertandingan Tarian Singa dan Naga Peringkat Kebangsaan Piala YB Along 2025.

Bertempat di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chiao Chee, Selandar, pertandingan julung kali dianjurkan Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Asahan itu mendapat sambutan hebat apabila disertai sebanyak 18 pasukan dari seluruh negara.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Asahan Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, selain pasukan dari Melaka, pertandingan itu turut disertai wakil dari Kuala Lumpur, Johor, Selangor dan Kelantan.

Menurut beliau, objektif utama penganjuran acara itu adalah untuk memupuk semangat perpaduan antara rakyat, selain menjadi platform untuk semua pihak menghargai seni budaya masyarakat berbilang kaum di negara ini.

“Tarian singa dan naga kini telah berkembang dan melangkaui sempadan kaum kerana tarian ini juga mempunyai peserta dari kaum lain dan ia dilihat satu elemen perpaduan yang harus kita diraikan.

“Acara ini juga dilihat memberi peluang kepada masyarakat lain mengenali seni dan tradisi kaum Cina selain secara tidak langsung pertandingan ini dapat menarik ramai pengunjung datang dan menikmati pelbagai tarikan yang ada di kawasan Asahan ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pertandingan berkenaan.

Hadir sama, Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem.

Pertandingan Tarian Singa dan Naga Peringkat Kebangsaan Piala YB Along 2025 itu menawarkan hadiah wang tunai RM3,000 kepada johan, manakala RM2,000 dan RM1,000 masing-masing untuk naib johan dan tempat ketiga.

Dalam pada itu, Fairul Nizam yang juga Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri berkata, melihat kepada sambutan luar biasa yang diterima, pihaknya berhasrat untuk meneruskan penganjuran pertandingan itu di Asahan pada masa akan datang.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1551
Kongsi :
Previous post PETUGAS PEMBERSIHAN SWM ENVIRONMENT ANTARA JAYAKAN CUCI-CUCI DUYONG