ASBN: Jasa penggiat seni budaya dimartabatkan
AYER KEROH 24 Oktober – Peranan dan jasa penggiat seni serta budaya akan terus dimartabatkan bagi menghargai individu selain aktivis yang berkorban demi mewarnai bidang itu di negara ini.
Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman berkata, sumbangan individu dan aktivis berkenaan amat besar nilainya.
Katanya, Majlis Penyampaian Anugerah Seni dan Budaya Negeri (ASBN) Melaka 2022/2023 menjadi menjadi penanda aras bagi menghargai peranan individu dan aktivis yang telah membuktikan kepakaran selain ketokohan mereka dalam pelbagai cabang seni serta budaya.
Abdul Razak berkata, penganugerahan itu secara tidak langsung memanfaatkan landasan dan aspirasi Dasar Kebudayaan Negara (Daken) 2021 yang menggariskan matlamat membangunkan sebuah negara yang maju dengan rakyat yang berbudaya tinggi.
“Menerusi dasar ini kita akui peri pentingnya membentuk masyarakat berbudaya nilai tinggi melalui pelaksanaan kebudayaan kebangsaan, memupuk budaya sukuan, memelihara khazanah warisan dan mencapai kecemerlangan dalam bidang seni budaya.
“Kali ini 19 individu dinobatkan sebagai penerima anugerah pelbagai kategori. Penerima utama iaitu penghargaan tertinggi adalah kategori Anugerah Seni Budaya Negeri Melaka akan disenaraikan pencalonannya pada peringkat kebangsaan November depan.
“Tahniah dan syabas diucapkan kepada semua penerima anugerah ini semoga penghargaan disampaikan terus mendorong penggiat seni dan budaya di Negeri Melaka terus berinovasi serta mampu menghasilkan karya-karya seni yang memukau,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Penyampaian Anugerah Seni dan Budaya Negeri (ASBN) Melaka 2022/2023 diadakan di sebuah hotel, di sini, semalam.
Hadir sama, Pengarah Bahagian Pengukuhan Seni dan Budaya Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Suhaimi Abdul Rahim dan Pengarah JKKN Melaka, Ezlina Alias.
Pada majlis itu Pengerusi Lembaga Pengelola Yayasan Pembangunan Buku Negara. Tan Sri Prof Dr. Abdul Latiff Abu Bakar diumumkan sebagai penerima penghargaan tertinggi kategori Anugerah Seni Budaya Negeri Melaka.
Antara kategori lain turut disampaikan agalah Anugerah Pendukung Seni (APS) NGO; APS Media; Anugerah Khas Penggiat Seni Pelbagai Kaum; Anugerah Khas Setia Seni dan Anugerah Jasa Seni.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.