Sorting by

×

Atasi banjir di Taboh Naning

Masa Membaca:1 Minit, 55 Saat

TABOH NANING 28 Sept. – Banjir di Taboh Naning harus segera diatasi melalui kerjasama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Pejabat Daerah dan Tanah Alor Gajah (PDTAG) dengan anggota komuniti.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Daerah, Luar Bandar, Pengurusan Banjir dan Teknologi Hijau negeri, Datuk Seri Utama Idris Haron berkata, JPS dan PDTAG tidak boleh membuat kerja pengairan dan saliran hanya berdasarkan dapatan kajian pegawai mereka.

Sebaliknya, kedua-dua agensi itu diarahkan mengambil kira pendapat anggota komuniti, terutama pemilik kolam di Kampung Ulu Sungai Buloh, Simpang Ampat di sini dalam membuat perancangan sistem berkenaan bagi mengelak banjir berulang.

“Pegawai JPS dan PDTAG adalah tenaga profesional yang menjalankan kerja mengikut peraturan tetapi saya meminta mereka jangan menidakkan pendapat penduduk kampung.

“Pegawai memang bijak menyusun pelan pembangunan tetapi mereka tidak tahu selok-belok sesuatu kawasan yang ingin dimajukan dan bagi melengkapkan kajian serta pelan tindakan, mereka perlu mendengar pendapat anak kariah,” katanya.

Beliau ditemui ketika meninjau sistem pengairan dan saliran di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Taboh Naning, di sini, hari ini, yang terjejas akibat banjir minggu lalu.

Turut hadir ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taboh Naning, Datuk Latifah Omar; Pegawai Daerah Alor Gajah, Rahizi Ranom; Jurutera Daerah (JD) Jabatan Kerja Raya (JKR) Alor Gajah, Hafrin Salleh dan beberapa pegawai JPS.

Selain meninjau kolam penternakan ikan air tawar di Kampung Ulu Sungai Buloh, beliau turut meninjau parit dan sungai di Jalan Dato Kokoh di Kampung Taboh Naning, Jalan Megat Datuk Melintang dan Jalan Tanjong Cherana Putih.

Idris berkata, sebanyak 99 kolam ikan air tawar seperti keli, tilapia merah, jelawat dan patin di Kampung Ulu Sungai Buloh dimasuki air dari sungai yang melimpah dalam kejadian banjir pada jam 9 malam, 21 September lalu yang mengakibatkan beratus ribu ikan terlepas.

“Penternak ikan di sini adalah generasi ketiga yang mewarisi industri itu daripada anggota keluarga masing-masing dan kebanyakan ikan dipasarkan ke Kuala Lumpur dan Selangor,” katanya.

Dalam kejadian itu, hujan lebat di hulu sungai di Tampin, Negeri Sembilan mulai jam 5.30 petang mengakibatkan 99 kolam berkenaan dipenuhi air yang melimpah dari sungai.

Penternak ikan tidak mampu berbuat apa-apa, selain terpaksa berputih mata menyaksikan ikan peliharaan masing-masing masuk ke dalam sungai dan parit di sekeliling kampung.

Bagaimanapun, ia memberi rezeki terpijak bagi penduduk kampung itu dan kampung berhampirannya yang bagaikan berpesta menangkap ikan dengan kaedah menjala, menjaring dan memancing.

Views:

604
Kongsi :
Previous post Ambulans remuk rempuh lembu
Next post 749 pelajar cemerlang Melaka terima anugerah
Ubah saiz-+=