Ambulans remuk rempuh lembu

AYER KEROH 28 Sept. – Sebuah ambulans yang dalam perjalanan menghantar pesakit ke Hospital Melaka terbabit kemalangan selepas merempuh seekor lembu yang tiba-tiba melintas jalan dalam kejadian di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) Kandang di sini, pagi tadi.

Kejadian dikatakan berlaku kira-kira jam 7 pagi, apabila ambulans dari Klinik Kesihatan Sungai Rambai itu dalam perjalanan ke Hospital Melaka.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, ketika kejadian lembu terbabit melintas jalan di laluan utama dan ambulans ketika itu dipandu di lorong kiri.

“Ambulans yang dalam perjalanan ke hospital itu membawa seorang pesakit lelaki berusia 40 tahun dan seorang penolong pegawai perubatan (PPP).

“Akibat kemalangan itu pemandu ambulans mengalami sakit dibahagian lutut kiri manakala pesakit dan PPP dilaporkan tidak cedera,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah negeri Rahmad Mariman mengingatkan kepada orang awam terutamanya pemilik dan penternak haiwan agar tidak bersikap lepas tangan.

“Saya menyeru kepada penternak lembu agar tidak melepaskan lembu di kawasan luar daripada kandang kerana keadaan itu boleh mengancam keselamatan orang ramai.

“Malah pihak berkuasa bukan sahaja boleh mengenakan kompaun tetapi sitaan ke atas haiwan peliharaan juga akan diambil sekiranya didapati pemilik atau penternak terus melepaskan,” katanya.

Views:

1
Previous post Pendekatan dari bawah ke atas perlu diperkukuh – PM
Next post Atasi banjir di Taboh Naning