‘DATANG AYER LIMAU TAK SAH KALAU TAK JAMAH SERABAI’

Masa Membaca:2 Minit, 16 Saat

AYER LIMAU 11 September – Mungkin kerana kurang popular tidak ramai lagi yang menjual kuih serabai, namun keadaan itu dianggap sebagai satu peluang buat Ahmad Azri Ismail, 37, mengangkat kembali kuih warisan keluarganya sebagai sumber rezeki.

Meskipun memiliki latar belakang dalam teknologi komputer dan pernah makan gaji di sebuah syarikat pengklanan, dia kemudian memilih untuk pulang ke kampung dan mengusahakan kuih berkenaan secara komersial sejak 2021.

“Saya bermula dengan membantu mak, tolong-tolong sahaja terutama apabila ada tempahan, ketika itu belum komersial. Secara tidak langsung saya belajar cara membancuh dan menyediakan kuih serabai.

“Selepas pandemik COVID-19, saya berhenti kerja dan tak buat apa-apa. Kemudian terfikir, lebih baik saya teruskan jualan kuih serabai tradisional Melaka ini kerana tidak ada orang lain yang usahakan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

IMG 20260909 WA0024
TEMPOH masa untuk memasak kuih serabai hanya selama satu minit.

Menurutnya, resipi kuih serabai berkenaan merupakan warisan keluarganya dan kini berada pada generasi ketiga, dengan keunikan tersendiri yang membezakannya daripada serabai di negeri lain.

Katanya, kuih serabai Melaka menggunakan kelapa parut dalam adunan dan lazimnya dinikmati bersama kuah serawa, terutama serawa durian, selain serawa pisang atau nangka.

“Resipi ini daripada nenek dan orang dulu-dulu. Saya generasi ketiga dan sampai sekarang resipi itu masih dikekalkan, termasuk kuah serawa.

“Saya tidak mahu ubah resipi dengan bahan moden seperti coklat atau keju kerana saya mahu kekalkan rasa tradisionalnya,” katanya.

Ahmad Azri berkata, keistimewaan serabai turut terletak pada teksturnya yang tidak terlalu gebu kerana beliau tidak menggunakan ibu roti sebagai bahan penaik, sebaliknya menghasilkan ibu daripada tepung beras yang dimasak.

“Permintaan terhadap kuih ini tidak pernah putus sejak saya mula berniaga, termasuk untuk majlis kenduri dan perkahwinan dengan tempahan terbesar pernah mencecah 500 atau 1,000 keping.

“Kalau hari biasa, saya hasilkan sekitar 100 hingga keping sehari. Dengan enam kuali, 100 keping boleh siap dalam masa kira-kira sejam. Kalau tempahan banyak, abang saya akan datang untuk membantu,” katanya.

IMG 20260909 WA0025
KUIH serabai lebih sedap dimakan dengan serawa durian, pisang atau nangka.

Lebih menarik, katanya, pelanggan bukan sahaja dari Melaka, malah ada yang datang dari Sabah, Sarawak dan Singapura semata-mata mahu menikmati kuih tradisional berkenaan.

“Golongan yang paling banyak mencari serabai ini biasanya umur 40 hingga 60 tahun kerana mereka mahu rasa semula kuih yang pernah mereka makan dahulu.

“Dulu kuih serabai biasanya dihidangkan ketika kenduri arwah atau tahlil. Sekarang tidak perlu tunggu ada majlis atau orang meninggal, datang sahaja ke kedai, insya-Allah sentiasa ada.

“Saya harap usaha kecil ini dapat membantu memastikan kuih serabai tradisional Melaka tidak hilang ditelan zaman, sebaliknya terus dikenali dan dinikmati generasi akan datang,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

417
Kongsi :
Previous post MAULID ARBAIN SEMARAK CINTA RASUL DI TAMAN KRUBONG PERDANA
Next post PENDEKATAN M.E.L.A.K.A JADI PEDOMAN – SUK