749 pelajar cemerlang Melaka terima anugerah

LENDU 28 Sept. – Seramai 749 pelajar seluruh Melaka telah diangkat menerima Anugerah Pelajar Cemerlang Peringkat Negeri Melaka bagi tahun 2019.

Penganugerahan tersebut disampaikan dalam Majlis Perasmian dan Pelancaran Anugerah Sekolah dan Pelajar Cemerlang UPSR, SPM, STPM dan STAM bagi tahun 2019 bertempat di Dewan Taming Sari, UiTM Melaka Kampus Alor Gajah sebentar tadi.

Majlis tersebut telah dirasmikan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa di Jabatan Ketua Menteri (Pendidikan) Datuk Noor Effandi Ahmad bersama exco-exco Kerajaan Negeri Melaka dan Pengarah Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (TAPEM) Mustafa Musa.

Sulaiman dalam ucapannya berkata, daripada 749 pelajar cemerlang terbabit, 213 daripadanya mewakili Parlimen Hang Tuah Jaya, 213 (Parlimen Kota Melaka), 81 (Parlimen Tangga Batu), 50 (Parlimen Masjid Tanah), 119 (Parlimen Alor Gajah) dan baki 73 pelajar mewakili Parlimen Jasin.

Menurutnya, penganugerahan itu melibatkan peruntukan keseluruhan RM134,150 hasil sumbangan beberapa agensi kerajaan negeri.

“Saya difahamkan majlis perasmian dan pelancaran hari ini melibatkan Parlimen Masjid Tanah dan Alor Gajah sahaja. Bagi parlimen-parlimen yang lain, akan diadakan pada sesi-sesi yang akan datang dan InsyaAllah, saya akan turut hadir di setiap parlimen bagi menyampaikan hadiah kepada pelajar dan sekolah cemerlang.

“Besar harapan Kerajaan Negeri Melaka agar dapat melahirkan generasi yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik, tetapi seimbang perkembangannya dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelektual yang meliputi kecemerlangan duniawi dan ukhrawi menuju dasar Melaka Rumahku,” katanya.

Selain penyampaian sijil Anugerah Pelajar Cemerlang, turut disampaikan replika cek biasiswa Kerajaan Negeri Melaka kepada pengetua-pengetua Sekolah Menengah Parlimen Alor Gajah dan Masjid Tanah.

Sementara itu, Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Senggeh, Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) Selandar dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Selandar dipilih menerima Anugerah Sekolah Cemerlang Parlimen Alor Gajah.

Manakala, bagi Parlimen Masjid Tanah, Anugerah Sekolah Cemerlang menjadi milik Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Sin Min, SMK Ghafar Baba dan SMK Ade Putra.

Views:

151
Previous post Atasi banjir di Taboh Naning
Next post PERTAM terokai bidang baharu