Sorting by

×

PERTAM terokai bidang baharu

Masa Membaca:4 Minit, 49 Saat

KESIDANG 28 Sept. – Perbadanan Kemajuan Tanah Adat Melaka (PERTAM) merancang untuk menerokai pelbagai bidang baharu di masa akan datang dalam usaha mengukuhkan kewangannya.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Mohd Ridhwan Mohd Ali berkata, memandangkan dunia kini terkesan dengan penularan pandemik COVID-19, pihaknya perlu segera mempelbagaikan bidang perniagaan berkaitan Tanah Adat Melaka (MCL).

Katanya, bagi merealisasikan hasrat tersebut, pihaknya telah mewujudkan satu unit khas untuk merancang pembangunan selain hartanah yang mana melalui unit tersebut, pihaknya sudah mula didekati ramai pelabur-pelabur berpotensi.

“Sejak akhir-akhir ini ramai pelabur telah datang ke PERTAM untuk membangunkan solar farm di tanah adat di negeri ini. Selain itu, ada juga pelabur yang menyuarakan minat dalam bidang pertanian.

Ketua Pegawai Eksekutif PERTAM Mohd Ridhwan Mohd Ali

“Tapi kita di PERTAM tidak mempunyai pegangan tanah yang banyak. Justeru, kita bercadang untuk berperanan sebagai penghubung di antara pemilik tanah adat dengan pelabur-pelabur.

“Jadi, sebagai penghubung kita akan bekerjasama dengan pemilik tanah-tanah adat di negeri ini yang mana kita boleh membantu mereka merangka pembangunan yang bersesuaian di tanah milik mereka,” katanya.

Menurutnya lagi, selain bidang solar dan pertanian, pihak PERTAM juga kini sedang membuka peluang untuk terlibat dalam bidang kesihatan menerusi lambakan bangunan dan lot perniagaan yang dimiliki perbadanan itu.

“PERTAM ada banyak bangunan dan aset. Jadi, kita melihat sektor kesihatan juga mempunyai potensi seperti contoh klinik pakar, pusat hemodialisis dan sebagainya.

“Jadi, jika ada yang berminat untuk menyertai PERTAM sebagai pemilik bangunan kita pun terbuka kerana misi kita sekarang adalah untuk membuka pintu kepada pelbagai jenis perniagaan selain hartanah,” ujarnya.

Bina pangsapuri mampu milik untuk orang Melayu

PERTAM bakal membangunkan lebih banyak pangsapuri mampu milik khusus untuk orang Melayu di masa akan datang.

Mohd Ridhwan Mohd Ali berkata, antara perancang terbaharu yang sedang dirangka ialah membangunkan 200 unit pangsapuri mampu milik di kawasan Bandaraya Melaka.

Menurutnya, pembangunan di Tanah Adat Melaka (MCL) itu kini di fasa akhir rundingan yang mana ia mungkin dimuktamadkan sedikit masa lagi.

“Yang terbaharu ialah kita akan membangunkan 200 pangsapuri mampu milik di kawasan bandar yang mana kini kita dalam rundingan terakhir bersama pemilik tanah.

ANTRA perancang terbaharu yang sedang dirangka PERTAM ialah membangunkan 200 unit pangsapuri mampu milik di kawasan Bandaraya Melaka. Kredit foto unsplash.com

“Lokasi sebenar kita belum boleh umumkan. InsyaAllah, bila sudah dimuktamadkan, kita akan buat pengumuman kepada orang ramai, khususnya mereka yang berminat memiliki hartanah itu,” katanya.

Mohd Ridhwan berkata, selain perancangan membangunkan pangsapuri mampu milik, pihaknya juga turut diberi mandat oleh Kerajaan Negeri Melaka untuk mengurus dan membangunkan tanah-tanah wakaf dan baitulmal di bawah Majlis Agama Islam Melaka.

Jelasnya, pihaknya juga dalam fasa membangunkan tanah wakaf milik MAIM di Jasin yang dijangka akan dibangunkan satu pusat perniagaan baharu di masa akan datang.

“Pada masa sama, kita juga sedang mengusahakan pembangunan bercampur di tanah seluas 21.9 ekar milik PERTAM di Melaka Pindah. Jadi, keseluruhannya ada tiga projek pembangunan terbaharu yang sedang kami rancang,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Ridhwan memaklumkan, sehingga kini PERTAM telah mengusahakan tanah adat seluas 372 ekar dan 822.6 ekar tanah berstatus lain-lain seperti freehold dan pajakan di negeri ini.

Jelasnya, pihaknya turut mewujudkan pelbagai inisiatif secara berterusan dalam usaha memastikan tanah-tanah adat ini tidak terbiar.

“Antara inisiatif untuk pastikan tanah-tanah adat ini tidak terbiar ialah melalui pembangunan hartanah. Maksudnya kita akan terus bergerak aktif melakukan pelbagai projek pembangunan terutama di kawasan yang mempunyai potensi besar,” katanya.

Ubah stigma masyarakat mengenai PERTAM

PERSEPSI buruk segelintir masyarakat yang mendakwa PERTAM cuba mengambil alih tanah orang Melayu dan menjualnya kepada bukan Bumiputera adalah antara salah faham yang perlu diselesaikan segera.

Mohd Ridhwan Mohd Ali menegaskan kekeliruan itu tidak seharusnya timbul kerana ia adalah tidak benar sama sekali.

Sebaliknya, beliau menjelaskan bahawa pihaknya cuba menyelesaikan setiap masalah yang timbul melalui pelbagai pendekatan berbeza dan salah satunya adalah dengan mengambil alih tanah berstatus Tanah Adat Melaka (MCL) dan menukarnya kepada status pegangan pajakan (leasehold).

“Dalam usaha untuk menyelesaikan isu pemilik tanah MCL, ada kalanya kita terpaksa menggunakan cara pengambil alihan tanah. Namun ada masyarakat yang salah faham.

PERTAM cuba menyelesaikan setiap masalah yang timbul melalui pelbagai pendekatan berbeza dan salah satunya adalah dengan mengambil alih tanah berstatus Tanah Adat Melaka (MCL) dan menukarnya kepada status pegangan pajakan (leasehold).

“Di peringkat PERTAM, adakalanya sesuatu perancangan pembangunan itu kita guna melalui sudut yang berbeza khususnya membabitkan tanah MCL yang mana, ada masanya tanah MCL ini kita perlu fikir dari segi kos pembangunan dan return on investment (ROI) yang mungkin akan mengambil satu tempoh yang panjang.

“Jadi, sebab itu ada masa kita perlu mengambil tanah tersebut dan tukar kepada status leasehold. Bila tanah itu menjadi leasehold, kita masih ada 60 peratus lagi kuota Bumiputera yang mana tanah itu boleh dimajukan bila nilainya lebih tinggi apabila statusnya bertukar.

“Jadi, secara tidak langsung ia boleh menarik minat lebih ramai Bumiputera dan orang Melayu untuk memiliki hartanah di kawasan tersebut,” katanya.

Bagaimanapun, Mohd Ridhwan menjelaskan pendekatan atau kaedah seperti itu bukanlah selalu digunakan sebaliknya ia bergantung kepada permasalahan pemilik tanah dan juga potensi tanah-tanah tersebut untuk dibangunkan.

“Biasanya, kes ini melibatkan tanah yang mempunyai pemilik yang ramai dan mempunyai saiz tanah yang kecil. Jadi, untuk menyelesaikan masalah itu, mungkin kita perlukan lot-lot keliling untuk dijadikan sebuah projek pembangunan yang lebih baik.

“Sebab itulah, adakalanya kita perlu melakukan pengambil alihan tanah. Kita bukan ambil untuk suka-suka, sebaliknya untuk menyelesaikan isu pemilik dan pada masa sama memberi limpahan ekonomi yang lebih baik kepada masyarakat sekitar. Ia adalah situasi menang-menang untuk semua.

“Kebiasaannya, pemilik tanah memang sudah diterangkan mengenai apa yang dilakukan PERTAM dan mereka memahami, cuma ada segelintir masyarakat di luar yang belum faham dan kerap mempersoalkan mengenai tindakan yang kita lakukan,” katanya lagi.

Views:

548
Kongsi :
Previous post 749 pelajar cemerlang Melaka terima anugerah
Next post Pemain MU dikuarantin
Ubah saiz-+=